Sabtu, 16 November 2019 | 10:28am
CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng ketika ditemui media selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas. - Foto Hairul Anuar Rahim

Saya sudah 'dahului dua undi' - Jeck Seng

PONTIAN: “Saya sudah sah dahului beberapa calon lain dengan dua undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai,” kata calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng selepas keluar dari pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas.

Beliau yang menjadi pengundi pertama mengundi di situ, secara berseloroh berkata demikian merujuk kepada dirinya sendiri serta isteri, Datin Seri Lim Joo Hon, 45, yang turut mengundi di pusat mengundi berkenaan.

“Anak saya yang paling tua berusia 19 tahun, belum cukup umur lagi untuk mengundi, kalau tidak, saya sudah mendapat lebih undi untuk mendahului beberapa calon luar dalam PRK ini,” katanya yang juga calon tempatan sambil disambut ketawa pemberita di hadapan sekolah itu.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan isteri, Datin Seri Lim Joo Hoon menunjukkan jari yang dielup dakwat selepas membuang undi ketika hari pengundian bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai di Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Yu Ming 1, Pekan Nanas, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jeck Seng tiba bersama isterinya yang berpakaian sedondon baju kuning dan berseluar hitam di pusat berkenaan kira-kira jam 7.45 pagi sebelum masuk mengundi, seterusnya keluar beramah mesra dengan pengundi lain yang hadir ke sekolah berkenaan.

Beliau turut dilihat menolak kerusi roda seorang pengundi orang kurang upaya (OKU) dari luar perkarangan pusat mengundi masuk ke pusat itu sebelum dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berita Harian X