Sabtu, 16 November 2019 | 3:03pm
Nur Farziana Husein. - Foto Farizul Hafiz Awang

Derita ibu hidap kanser jadi penguat semangat

KUANTAN: Penderitaan yang dialami ibu akibat kanser menguatkan semangat Nur Farziana Husein, 23, untuk tersenarai sebagai penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.

Mengetahui ibunya, Sharifah Farziah Jaafar, 50, yang juga ibu tunggal menghidap kanser limfoma tahap empat, membakar semangat graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan ini untuk meneruskan pengajian dan tidak menyangka dipilih antara empat penerima Anugerah Yayasan Pahang.

“Selepas kematian ayah semasa di semester pertama, ibu yang menjadi tulang belakang keluarga mengambil upah menjahit membesarkan kami enam beradik.

“Apabila mengetahui ibu menghidap kanser, pada mulanya saya hampir putus asa.

“Tetapi, kakak dan abang yang banyak bagi dorongan untuk saya fokus pada pengajian sehingga tamat. Anugerah ini sangat bermakna kepada saya kerana ada kisah yang akan saya kenang serta menjadi kekuatan kepada diri saya,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Sementara itu, bagi anak kepada seorang petani, Umi Fatiha Md [email protected] Seropil, 23, bapanya, Md [email protected] Seropil Lamneo, 71, menjadi sumber kekuatannya untuk berjaya sehingga meraih Anugerah Dekan selama tujuh semester.

Graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Teknologi Bahan yang diangkat sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, menjadikan pencapaian dua kakaknya sebagai guru dan doktor, pendorong untuk berjaya.

“Kesusahan keluarga menjadi pembakar semangat saya untuk berusaha sehingga berjaya dan tak sangka dipilih sebagai penerima anugerah ini. Ayah selalu berpesan, ilmu akhirat dia boleh bagi, tetapi, ilmu dunia kena usaha sendiri.

“Setiap kali masuk kelas, saya akan rakam audio apa yang pensyarah ajar dan selepas balik kelas, saya akan dengar balik apa yang diajar untuk saya lebih faham serta ingat,” katanya yang kini bertugas di sebuah kilang di Semenyih, Selangor.

Tidak seperti Nur Farziana dan Umi Fatiha yang mempunyai abang dan kakak sebagai penguat semangat, bagi Khairun Nisa Mazlan, 23, dia bergantung harap kepada ibunya, Noorasiah Daud, 48, yang juga ibu tunggal sebagai kekuatannya.

Anak sulung daripada empat beradik ini menjadikan kejayaannya meraih Anugerah Canselor yang disampaikan oleh Canselor UMP yang juga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai dorongan kepada adik-adiknya.

“Emak selalu jadikan diri dia sebagai rujukan sebab dia tidak ada kesempatan untuk sambung belajar. Jadi, dia mahu lihat saya berjaya dan menjadi lebih baik daripada dia.

“Kalau belajar, saya akan buat nota dan ajar kawan-kawan supaya saya senang ingat. Saya akan minta mereka bertanyakan soalan serta berlajar dua jam setiap hari,” katanya yang kini bekerja di sebuah bank di Cyberjaya.

Seramai 3,782 graduan menerima Ijazah dan Diploma masing-masing pada majlis yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, termasuk 32 graduan dwiijazah yang menerima dua ijazah serentak hasil kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences dan Reutlingen University, Jerman.

Berita Harian X