Ahad, 17 November 2019 | 9:08am

Sultan Nazrin berkenan sertai Larian Hari Keputeraan

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 di Dataran Pavillion, di sini, pagi ini.

Turut berkenan menyertai larian ialah anakanda baginda, Raja Kecil Besar, Raja Datuk Seri Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi, serta barisan EXCO negeri.

Larian yang memasuki tahun kelima penganjuran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang disambut 1 November lalu, menyaksikan hampir 7,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah beramah mesra dengan orang ramai pada Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar, pagi ini. - Foto Abdullah Yusof

Sultan Nazrin turut berkenan melakukan pelepasan peserta larian pada jam 6.45 pagi membabitkan kategori 15 kilometer (km), 10km dan 6.5km.

Pelepasan kategori tetamu kehormat yang membabitkan jarak 2km pula dilakukan oleh adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan.

Larian bagi kategori tetamu kehormat turut disertai pemain sepak takraw negeri dikenali sebagai ‘Perak Bison’ dan pemain hoki wanita dalam gelanggang negara.

Selepas larian, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dijangka berkenan untuk turut bersama-sama penyokong meraikan kejayaan pasukan hoki wanita dalam gelanggang negara yang memenangi Piala Tuanku Zara serta pasukan sepak takraw Perak yang merangkul kejuaraan Sepak Takraw League (STL) 2019.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar, pagi ini. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X