Selasa, 19 November 2019 | 10:14am
ISMAIL Lebai Teng dan isteri, Khatijah Abdullah menunjukkan pokok pisang yang berbuah pada bahagian batang potong berkenaan. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Pisang emas berbuah dari batang pokok

ALOR SETAR: Seorang penoreh getah tidak menyangka pokok pisang emas yang ditanamnya mengeluarkan buah pada bahagian tengah batang pohon berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Petani, Ismail Lebai Teng, 71, berkata kejadian itu disedari ketika dia sedang membersihkan kawasan kebun pisang berkenaan sebelum ternampak bahagian batangnya ‘membengkak’.

Katanya, selepas empat hari, dia kembali melihat pokok itu dan mendapati batangnya sudah terbelah dan mengeluarkan putik pisang.

“Ia tidak mengeluarkan jantung seperti pokok pisang lain, sepanjang hidup saya inilah kali pertama saya melihat pisang berbuah di tengah batang.

“Bagi saya, ia perkara yang pelik dan jarang ditemui, bagaimanapun sebagai orang Islam, tiada yang mustahil bagi Allah dan sebab itulah kita dapat melihat pokok pisang ini mengeluarkan buah luar dari kebiasaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Keda Kampung Bukit, Jalan Naka, Pokok Sena, di sini.

Ismail atau lebih mesra dipanggil Pak Su berkata, sehingga kini 25 biji pisang pada pohon itu hanya menunggu masa untuk masak.

Katanya, dia berhasrat mengadakan kenduri pisang bersama pulut dan akan menjemput saudara mara dan jiran terdekat untuk berkongsi rezeki.

“Ramai penduduk sekitar sini sudah datang melihat sendiri keanehan pokok pisang ini, rata-rata mereka terpegun dengan kejadian ini.

“Walaupun ia tidak berbuah setandan seperti pokok lain tapi bagi saya ia sudah memadai.

“Mungkin dalam seminggu dua lagi pisang ini akan masak, sebagai tanda rasa syukur, lebih baik saya mengadakan kenduri supaya lebih ramai orang dapat makan pisang ini walaupun hanya sebiji seorang,” katanya yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Berita Harian X