Selasa, 19 November 2019 | 3:57pm
SARAWAK memerlukan kepakaran dan teknologi untuk membina jalan raya di kawasan tanah gambut. NSTP/Kandau Sidi
SARAWAK memerlukan kepakaran dan teknologi untuk membina jalan raya di kawasan tanah gambut. NSTP/Kandau Sidi

Sarawak perlu kepakaran bina jalan tanah gambut

MIRI: Sarawak berminat menggunakan kepakaran Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) bagi menyelesaikan masalah pembinaan jalan di kawasan tanah gambut.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata ketika ini kementeriannya masih mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah itu di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, kebanyakan muka bumi di kawasan pinggir pantai di Sarawak adalah tanah gambut dan memerlukan kepakaran untuk membina jalan raya di kawasan berkenaan.

“Sekarang belum ada teknologi atau pendekatan yang mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Justeru, saya minta sokongan IEM atau institusi lain mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah pembinaan jalan raya di kawasan tanah gambut,” katanya ketika merasmikan pejabat baharu IEM Cawangan Miri di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii dan Timbalan Presiden IEM, Ong Ching Loon.

Kim Shin berkata, ketika ini kementerian belum dapat menyelesaikan masalah kejuruteraan tanah gambut.

Beliau berkata, banyak kawasan penempatan penduduk di Sarawak terletak di kawasan tanah gambut dan memerlukan rangkaian jalan raya yang baik.

Kerajaan negeri, katanya, sanggup membiayai pembiayaan untuk kajian berkenaan namun sehingga kini belum menemui penyelesaian.

Berita Harian X