Rabu, 20 November 2019 | 4:08pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick. NSTP/Ihsan KPLB.

2,585 MPKK sudah terima watikah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri sudah mengeluarkan 2,585 watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri setakat semalam.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, jumlah itu mewakili 90.6 peratus daripada 2,853 badan MPKK yang ada di seluruh negeri, manakala selebihnya sedang dalam proses melengkapkan borang cadangan lantikan.

“Antara sebab berlakunya kelewatan di beberapa daerah adalah borang cadangan yang dikemukakan ke kementerian saya tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Maka, borang cadangan itu dikembalikan ke pejabat daerah yang berkenaan untuk dilengkapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Mengenai geran MPKK, Ewon menjelaskan RM4.7 juta disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan kepada 600 badan MPKK pada tahun ini.

Jelas beliau, peruntukan yang terbatas menyebabkan ada permohonan geran MPKK tidak dapat dipertimbangkan.

“Kementerian saya menyokong semua permohonan geran MPKK yang dikemukakan, namun kelulusan akhir tertakluk kepada peruntukan yang tersedia berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat, selain kertas kerja tidak bermasalah.

“Kelulusan geran MPKK juga adalah tertakluk kepada jumlah yang dinyatakan dalam kertas kerja masing-masing. Peruntukan maksimum untuk sebuah MPKK ialah RM10,000,” katanya.

Bagi elaun MPKK, Ewon berkata kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) sedang membangunkan sistem pembayaran elaun MPKK secara dalam talian yang dijangka mula digunakan pada awal tahun depan.

Langkah itu, katanya, bagi mengatasi masalah kelewatan pembayaran yang dialami beberapa pengerusi badan MPKK sebelum ini yang disebabkan kegagalan mengemukakan dokumen sokongan seperti salinan buku bank dan kad pengenalan.

“Setakat ini, RM22.4 juta sudah disalurkan di seluruh negeri untuk membayar elaun MPKK termasuk untuk elaun bulan Disember ini.

Berita Harian X