Rabu, 20 November 2019 | 4:18pm
MOHAMAD Zairuni sanggup membelanjakan RM150 untuk mewarnakan badan dan muka bertemakan harimau sebagai sokongan kepada pasukan Harimau Malaya. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Demi Harimau Malaya, korbankan RM150 warnakan badan

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik sanggup membelanjakan RM150 untuk mewarnakan badan dan muka bertemakan harimau sebagai sokongan kepada pasukan Harimau Malaya yang menentang Indonesia pada Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Inisiatif Mohamad Zairuni Kordi, 26, dari Kuala Kurau, Perak, itu bukan sekadar memberi sokongan kepada pasukan negara turut menghiburkan penyokong lain yang hadir menyaksikan perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mohamad Zairuni berkata, dia mendapat kepuasan apabila mewarnakan badan seperti itu terutama apabila gambarnya dirakam dan tular di media sosial sekali gus memberi gambaran positif mengenai semangat penyokong bola sepak tanah air.

ZAIRUNI mewarnakan badan sebelum bermula perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/Eizairi Shamsudin

ZAIRUNI mewarnakan badan sebelum bermula perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/Eizairi Shamsudin

“Selain perlawanan semalam, sudah empat kali saya mewarnakan seluruh badan sebagai sokongan kepada pasukan bola sepak yang bertanding.

“Kali pertama bertemakan seladang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Perak menentang Terengganu diikuti perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam pada 2018 sebelum perlawanan akhir Piala FA membabitkan Perak menentang Kedah pada 2019,” katanya.

Tambah Mohamad Zairuni, dia lebih bersemangat apabila ramai yang memberi sokongan kepadanya untuk berbuat demikian termasuk menawarkan penajaan mewarna badan dan tiket menyaksikan perlawanan penting.

“Pernah gambar saya yang bertemakan Jalur Gemilang dan berwajah harimau di muat naik ke akaun Facebook Fifa World Cup ketika perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam.

“Gambar itu mendapat lebih 12,000 tanda suka. Ia menyebabkan saya rasa dihargai dan saya akan meneruskan sokongan di stadium melalui cara seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di sini, malam tadi.

Lebih menggembirakannya setiap kali hadir ke perlawanan penting, ‘peminatnya’ yang terdiri daripada penyokong di stadium akan menantikan kemunculannya.

“Saya tidak kisah berbelanja untuk tujuan ini asalkan ia memberi kepuasan dan menceriakan suasana,” katanya.

Berita Harian X