Rabu, 20 November 2019 | 8:16pm

Bapa pemandu Grab sepenuh masa terima faedah PERKESO

KUALA LUMPUR: Bapa kepada pemandu e-hailing Grab, Md Shanizam Saleh, 32, yang meninggal dunia akibat sesak nafas 13 Oktober lalu, hari ini menerima cek Faedah Pengurusan Mayat bernilai RM2,000.

Saleh Abdul Manaf, 60, menerima cek sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Selain itu, beliau turut layak menerima pencen Faedah Orang Tanggungan seumur hidup berjumlah RM558 yang akan dibayar secara bulanan.

Bapa kepada lima orang anak itu bersyukur kerana pihak PERKESO tampil menyerahkan caruman yang dilakukan Allahyarham anaknya dan faedah yang layak diperoleh pewaris.

Sementara itu, Mahfuz berkata beliau berharap pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persendirian mencarum kepada PERKESO untuk mendapatkan perlindungan bagi diri sendiri dan keluarga.

“Syarikat perkhidmatan e-hailing juga boleh mengenakan syarat kepada pemandu yang ingin mendaftar, mewajibkan mereka mencarum kepada PERKESO terlebih dulu.

“Jika pemandu membuat caruman PERKESO, keselamatan dan masa depan diri sendiri, malah keluarga akan terjamin sekiranya apa-apa terjadi kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek faedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Faedah II dan Skuad Prihatin PERKESO, Ismail Abi Hashim.

Menurut abang ipar Md Shanizam, Ahmad Hafiz Bistamam, 39, ketika kejadian, arwah mengalami sesak nafas ketika sedang memandu selepas menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Arwah sempat berhenti di Petronas Salak Tinggi dan meminta bantuan petugas Petronas untuk menghubungi kakaknya (isteri Ahmad Hafiz).

“Saya yang menjawab panggilan itu dan mendengar jeritan menahan kesakitan, saya meminta untuk bercakap dengannya tetapi keadaannya ketika itu tidak mengizinkan.

“Menurut petugas Petronas itu, arwah sempat keluar dari kereta serta melambai meminta tolong sebelum rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya.

Tambah beliau, adik iparnya tidak mempunyai masalah kesihatan, malah sehingga kini punca kematian pun belum dikenal pasti kerana doktor memaklumkan jantung dan paru-paru Md Shanizam normal.

Lebih menyedihkan, Md Shanizam bercadang untuk melangsungkan perkahwinannya pada tahun depan.

Mahfuz (kanan) menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan bayaran pencen Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM558 kepada Saleh, bapa kepada Md Shanizam yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada 13 Oktober lalu. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X