Khamis, 21 November 2019 | 12:09pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Edmund Samunting

Sabah tingkatkan perhubungan dengan Kalimantan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meningkatkan jaringan hubungan udara, laut dan darat di Sabah, susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Sejajar dengan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri sudah memulakan perbincangan dengan AirAsia bagi mengkaji kemungkinan untuk memperkenal penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Balikpapan, Kalimantan.

Jelasnya, pada masa ini, memang ada perkhidmatan melalui udara dari Tawau ke Tarakan, Kalimantan dan Tarakan ke Balikpapan.

“Bagi jaringan perhubungan melalui laut ke Kalimantan Timur pula, Sabah mempunyai lebih banyak kelebihan kerana kawasan pantai timur negeri ini lebih dekat dengan pelabuhan di Kalimantan Timur yang menghadap ke arah Selat Makassar dan Laut Sulawesi, berbanding Sarawak dan Brunei.

“Perkhidmatan feri penumpang juga akan berkembang pesat pada masa hadapan kerana peningkatan mobiliti pelawat antara Sabah dan ibu negara yang baharu di Kalimantan Timur,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) mengenai faedah diperolehi Sabah hasil daripada pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur dan tindakan atau strategi yang sudah dibuat supaya Sabah tidak ketinggalan menikmati limpahan ekonomi daripada pemindahan itu.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan dana RM600 juta tahun depan untuk pembinaan jalan raya menghubungkan Serudong di Kalabakan dengan Simanggaris di Kalimantan Utara, Indonesia dan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (COQS) yang teratur serta lengkap.

“Dalam masa sama, satu kajian sudah dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengenai cadangan jalan raya Long Pasia ke sempadan Kalimantan,” katanya sambil menambah kedudukan negeri ini amat strategik sebagai pintu masuk kepada pelabur.

Katanya, kerajaan negeri akan membangunkan bandar sempadan secara berfasa untuk memanfaatkan perpindahaan itu, termasuk sudah mewujudkan pejabat daerah dan cadangan pekan baharu Kalabakan.

“Sabah sudah pasti akan menerima faedah daripada pemindahan itu kerana daripada segi geografi, Sabah mempunyai empat bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, iaitu Serudong (Kalabakan), Pagalungan (Nabawan), Pulau Sebatik (Tawau) dan Long Pasia (Sipitang).

“Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) akan melaksanakan kajian terperinci dan menyediakan pelan tindakan bagi memastikan Sabah bersedia dan memanfaatkan sepenuhnya impak positif perpindahan ibu negara Indonesia dalam tempoh jangka masa enam bulan ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abidin sama ada akan berlaku penghijrahan pekerja Indonesia di negeri ini ke negara asal mereka susulan pemindahan ibu kota Jakarta ke Kalimantan, Mohd Shafie berkata, ia sudah pasti menyebabkan penghijrahan pekerja negara itu dari Sabah ke negara asal mereka.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan), jika kerajaan Sabah juga akan membangunkan Pensiangan, beliau berkata, beberapa daerah yang bersempadan dengan Kalimantan termasuk Pensiangan akan mendapat manfaat dan dibangunkan bagi menarik lebih ramai pelancong datang.

Menjawab soalan tambahan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (BERSATU-Apas), sama ada ha pendidikan dan pelancongan perubatan turut dipromosikan kepada negara jiran, Mohd Shafie berkata, kedua-dua aspek itu memang dalam perancangan kerajaan negeri.

“Bukan hanya universiti, malah kolej teknikal dan pusat latihan kita turut diberi perhatian agar lebih ramai dari negara jiran datang meneruskan pengajian ke Sabah kerana jarak yang lebih dekat,” katanya.

Berita Harian X