Khamis, 21 November 2019 | 4:13pm
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek (kanan). - NSTP/Khairull Azry Bidin
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek (kanan). - NSTP/Khairull Azry Bidin

Pos balai bomba atas air diperluaskan ke seluruh negeri

KOTA KINABALU: Pembinaan pos balai bomba atas air seperti di Semporna akan diperluaskan ke kampung air di seluruh negeri bagi menampung keperluan di kawasan penempatan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata kemudahan itu penting kerana fungsinya bagi menyalurkan bantuan awal sebelum kehadiran pasukan bimba apabila berlaku kes kecemasan.

Katanya, pos balai bomba berkenaan akan dilengkapi peralatan bersesuaian, termasuk bot dan peralatan pemadaman api.

“Pos balai bomba atas air ini akan siap sepenuhnya hujung tahun ini dan ia dijangka mampu membantu sekiranya berlaku kecemasan.

“Pembabitan komuniti setempat dalam operasi kecemasan juga lebih efektif berikutan mereka lebih mahir dengan kawasan kampung untuk operasi menyelamat dan tahu lokasi punca air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Gred KB19 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mohammad berkata, pasukan bomba atas air ini sememangnya terlatih dan dilengkapi dengan pelbagai kecekapan dalam menghadapi kecemasan sama ada di air ataupun darat.

Terdahulu, seramai 132 anggota bomba tamat latihan berkenaan selepas menjalani latihan lebih empat bulan.

Mohammad berkata, anggota bomba itu diberikan latihan bagi meningkatkan kemahiran untuk kesiapsiagaan ketika menghadapi pelbagai kes kecemasan.

Katanya, kecekapan itu penting supaya pasukan bomba bertugas dapat memberi perkhidmatan menyelamat dan memadamkan api kebakaran dengan lebih efektif.

“Kita sudah melatih 898 anggota di tiga akademi bomba seluruh negara membabitkan 689 di Terengganu, 77 di Sarawak dan 132 di Sabah. Bagi tahun depan pula, JBPM dijangka akan melatih seramai 400 anggota,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X