Jumaat, 22 November 2019 | 3:29pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas selesai pembentangan Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Negeri Sembilan bentang belanjawan berimbang, peruntuk RM457 juta pada 2020

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2020 yang berimbang dengan tema ‘Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat’.

Ia membabitkan anggaran peruntukan RM457 juta, meningkat sebanyak RM27 juta berbanding RM430 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata anggaran belanjawan mengurus 2020 meliputi emolumen sebanyak RM180.1 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM96.46 juta), perolehan aset (RM3.99 juta), pemberian dan bayaran tetap (RM171.88 juta) serta perbelanjaan lain (RM4.55 juta).

“Selain itu, kerajaan negeri komited melaksanakan agenda bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah di negeri ini. Dengan tema ‘Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat’, sebanyak RM101.2 juta diperuntukkan untuk tujuan itu tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Peruntukan pembangunan pada 2020 membabitkan RM41.24 juta untuk pembangunan sosial, infrastruktur (RM20.87 juta), pertanian (RM13.29 juta), pentadbiran (RM11.78 juta), kerohanian (RM7.91 juta) dan pelancongan (RM6.11 juta).

Aminuddin memaklumkan, kerajaan negeri turut menerima peruntukan penyelenggaraan jalan raya daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM200 juta sehingga RM300 juta setiap tahun.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku Urusetia Jawatankuasa Penyelenggaraan Jalan Raya (MARRIS), akan melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan sepanjang 1,050 kilometer dengan anggaran peruntukan sebanyak RM290 juta.

Berita Harian X