Sabtu, 23 November 2019 | 7:31am
BARU Bian.

Lebuhraya Trans-Borneo pemangkin ekonomi Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Trans-Borneo sepanjang 165 kilometer menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur, Indonesia mampu memperkasakan pembangunan serta sosio-ekonomi kedua-dua negeri itu.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata antara fasa terpenting projek itu membabitkan pakej bernilai RM600 juta untuk membina Jalan Kalabakan - Serudong sepanjang 40 kilometer di Tawau, selain pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) serta kuarters kerajaan di kawasan bersempadan dengan Kalimantan.

“Kita sedia maklum bahawa Indonesia akan memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur dan hasil pertemuan saya dengan Presiden Jokowi pada September lalu, saya dimaklumkan proses pembangunan akan bermula pada tahun depan sebelum berpindah secara berperingkat pada 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 2019, di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya sentiasa mengambil kira setiap pembinaan lebuh raya, terutama membabitkan kawasan hutan yang menjadi habitat hidupan liar.

Baru berkata dalam dasar kementerian membangunkan infrastruktur di seluruh negara, kementerian itu mengambil berat tentang isu persekitaran selain mendengar taklimat daripada badan bukan kerajaan. – BERNAMA

Berita Harian X