Ahad, 24 November 2019 | 1:51pm
MENTERI Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh beramah mesra dengan pengunjung ketika menghadiri Majlis Perasmian Pesta Nanas 2019 di Sarikeu, semalam. - Foto Harun Yahya

Sarawak komited bangunkan konsep pertanian pintar

SARIKEI: Sarawak komited memperkasakan konsep pertanian pintar bagi mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport makanan utama negara menjelang 2030.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata sektor pertanian perlu terus dimodenkan melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti, selain memperkuhkan rangkaian bekalan.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri mensasarkan pembangunan kawasan seluas dua juta hektar tanah bagi pelbagai aktiviti pertanian, terutama dalam penanaman tanaman makanan.

“Lebih banyak Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan manakala penyelidikan dan pembangunan akan dijalankan secara meluas, modal untuk usahawan agro-pertanian juga akan diberikan.

“Selain itu, pertubuhan peladang akan terus diperkukuhkan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar dalam usaha ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Pesta Nanas 2019, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Roland Duat dan Residen Sarikei, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.

Uggah berkata, lokasi negeri ini yang strategik dan memiliki iklim tropika, termasuk taburan hujan yang banyak, selain mempunyai tenaga kerja yang rajin menjadi penggerak utama bagi transformasi pertanian.

Katanya, dua juta hektar tanah itu, termasuk dalam empat kawasan pembangunan wilayah iaitu Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

“Malah, ada juga tanah di kawasan Agropolitan Sadok dan kawasan Bakul Makanan Betong - Sarikei dan kawasan penternakan.Sarawak mencapai 97 peratus tahap kecekapan dalam bidang perikanan, 90 peratus dalam penternakan ayam dan itik, 57 peratus dalam penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, 51 peratus dalam penanaman padi, 11 peratus dalam penternakan lembu dan lima peratus dalam penternakan kambing.

“Justeru, manfaatkan kelebihan yang ada pada kita di Sarikei ini untuk jangka masa panjang seperti kelapa sawit, getah, kelapa, sagu, sawit nipah dan penanaman durian. Saya percaya dengan kawasan yang besar yang kita miliki, ia turut berpotensi untuk tanaman nanas dan pisang, selain sayur-sayuran dan ternakan,” katanya.

Len Talif yang juga ADUN Rajang, berkata Bahagian Sarikei berpotensi besar untuk berkembang maju dalam bidang pertanian.

“Dengan kekayaan sumber dan bahan mentah yang terdapat di Sarikei dan sekitarnya, Bahagian Sarikei boleh berkembang sebagai penggerak utama aktiviti ekonomi, terutama di kawasan tengah Sarawak. Lokasi Sarikei yang strategik, terutama sebagai rangkaian utama logistik dalam memasarkan produk pertanian,” katanya.

Berita Harian X