Selasa, 26 November 2019 | 6:09pm
LOKASI kebakaran dan letupan tong berisi bahan kimia di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, awal pagi semalam. - Foto ihsan Unit Pengurusan Bencana Selangor

Unsur khianat sisa kimia masih disiasat

SHAH ALAM: Kerajaan negeri masih menyiasat jika ada unsur khianat dalam insiden kebakaran dan letupan tong berisi bahan kimia di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata walaupun setakat ini belum ada kepastian sama ada kebakaran berkenaan disebabkan perbuatan khianat tetapi kejadian itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Mungkin kebakaran itu disengajakan atau pelaku mungkin mencari keuntungan dalam masa yang singkat kerana melupuskan bahan kimia memerlukan kos.

“Mereka mungkin mahu elakkan kos atau bahan berkenaan mungkin bahan terlarang yang tidak boleh dilupuskan secara sah,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan projek tebatan banjir di Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa di sini, hari ini.

Amirudin berkata, rakyat Selangor kini semakin prihatin kerana banyak membantu kerajaan dalam usaha menangani pencemaran dengan membuat laporan awal.

Katanya, beberapa kes pencemaran dapat ditangani sebelum bahan cemar memasuki sumber air, yang boleh menyebabkan gangguan kepada bekalan.

“Keprihatinan rakyat dengan membuat laporan membantu menurunkan kes pencemaran, cuma kalau kita mahu banteras hingga ke paras sifar memang sukar dan akan ambil masa.

“Kawasan yang menjadi lokasi pembuangan sisa ini kebiasaannya tersorok dan sukar untuk kita mengesan pelakunya justeru dengan laporan yang dibuat oleh orang awam memang membantu,” katanya.

Sementara itu, BH hari ini melaporkan tong yang terbakar dan meletup dipercayai mengandungi bahan cecair pelarut dan sisa cat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yassin, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan tong berkenaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan sampel bahan berkenaan sudah dihantar untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Katanya, ketika ini, Jabatan Kimia sedang membuat analisis lebih teliti bagi mengenal pasti sama ada bahan dalam tong berkenaan bahan buangan berjadual atau bahan buangan tidak berjadual.

“Bahan itu akan dilupuskan mengikut tatacara yang ditetapkan selepas laporan mengenainya dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Tamat...

Berita Harian X