Jumaat, 29 November 2019 | 9:49am
Pengusaha tanam an cendawan, Shafawira Ramlee mengusahakan tanaman cendawan merah jambu, kuning dan tiram kelabu sebanyak 40 ribu bongkah, di Pusat Pertanian Tanah Putih, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Cendawan merah jambu, kuning jadi produk baharu

PEKAN: Cendawan berwarna merah jambu dan kuning, kini menjadi produk terbaru berjaya dihasilkan seorang usahawan tanaman itu di sini.

Bagi Shafawira Ramlee, 42, percubaan pertama menanam cendawan berwarna berjaya apabila tumbuh subur hampir sama dengan cendawan tiram kelabu yang mengambil masa 40 hingga 45 hari untuk membesar dan boleh dituai.

Katanya, saiz cendawan berwarna agak kecil dan keras, berbanding cendawan tiram kelabu yang sudah lama terkenal di negara ini.

“Cendawan berwarna masih asing bagi penduduk negara ini berbanding di Indonesia dan Thailand yang sudah lama mengeluarkan produk berkenaan hasil penyelidikan dilakukan golongan pakar di dua negara berkenaan.

“Saya difahamkan pengusaha tanaman cendawan di dua negara berkenaan berjaya menghasilkan cendawan dengan pelbagai warna yang menarik dan mampu memikat hati pengguna,” katanya yang berpengalaman lebih tiga tahun mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Dia yang mengusahakan tanaman cendawan di kawasan Pusat Pertanian Tanah Putih, di sini berkata sebagai percubaan dia menanam 100 bongkah cendawan berwarna merah jambu dan kuning awal bulan lalu dan hasilnya kini mula dapat dilihat.

Shafawira berkata, dia mendapat bekalan benih cendawan berwarna termasuk tiram kelabu daripada pembekal tempatan hampir setiap bulan, harga yang ditawarkan berpatutan dan kualitinya amat memuaskan

Katanya, dia kini mempunyai lebih 40,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang ditempatkan dalam empat rumah cambah dengan setiap hari pengeluaran antara 20 hingga 45 kilogram (kg) bergantung pada keadaan cuaca semasa dan tahap kelembapan dalam rumah.

“Saya akan menambahkan lagi pengeluaran cendawan berwarna secara berperingkat terutama selepas mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna tempatan yang tertarik dengan keunikannya.

“Selepas mencatat kejayaan membanggakan pada projek percubaan, peluang untuk terus berjaya kini terbuka luas,” katanya yang turut menjual bongkah cendawan dengan harga RM2 seunit.

Katanya, sokongan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Pekan menambahkan kesungguhannya mengusahakan projek tanaman cendawan yang sebelum ini diusahakan arwah ayah lebih 20 tahun.

Menurutnya, khidmat nasihat dan bantuan disediakan Pegawai Pertanian Daerah, Abdul Halim Jamaludin, menambahkan lagi semangatnya untuk terus maju dalam projek tanaman cendawan.

Pengusaha tanam an cendawan, Shafawira Ramlee mengusahakan tanaman cendawan merah jambu, kuning dan tiram kelabu sebanyak 40 ribu bongkah, di Pusat Pertanian Tanah Putih, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Berita Harian X