Ahad, 1 Disember 2019 | 11:11am
Peniaga, Normala Ismail, 28, bersama ibunya Che Ainshah Ismail, 50, menunjukkan ikan pekasam yang dijual dijual di gerai mereka di Jalan Lama Jeram Perdah, Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustapa
Peniaga, Normala Ismail, 28, bersama ibunya Che Ainshah Ismail, 50, menunjukkan ikan pekasam yang dijual dijual di gerai mereka di Jalan Lama Jeram Perdah, Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustapa

Jual 50 kg ikan pekasam sehari

RANTAU PANJANG: Seorang wanita mengambil peluang musim tengkujuh dengan menghasilkan sebanyak 50 kilogram (kg) ikan pekasam setiap hari untuk dijual.

Normala Ismail, 28, berkata ikan pekasam yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun keluarganya mendapat permintaan ramai bukan saja dalam kalangan penduduk setempat dan seluruh Kelantan, malah sehingga ke Thailand.

Murah dengan senyuman, dia mengakui teruja setiap kali banjir kerana membuka peluang kepadanya mencari rezeki, terutama pada awal musim banjir ketika air cetek dan jalan di kawasan rumahnya masih boleh dilalui.

“Biasanya saya menjual di gerai tepi jalan ketika permulaan banjir dan apabila air semakin surut kerana paras air yang cetek. Ini kerana gerai saya turut ditenggelami air separas satu meter jika banjir melanda.

“Ikan pekasam dijual pada harga serendah RM3 sehingga RM50 seberkas bergantung kepada jenis dan berat ikan. Kebanyakan pelanggan memuji kelazatan pekasam yang dihasilkan kerana aroma dan rasa sedap serta rangup apabila digoreng,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Lama Jeram Perdah di sini, semalam.

Normala berkata, dia mengambil masa dua minggu untuk memerap ikan menggunakan bahan asas iaitu garam.

Menurutnya, dia juga menggunakan ikan darat yang masih segar dan biasanya dibeli daripada penduduk kampung yang memukat atau menjala ikan ketika musim tengkujuh.

“Antara jenis ikan yang digunakan seperti haruan, puyu, terbok, sepat dan pucuk pisang. Semua ikan ini lebih mudah didapati hanya ketika banjir melanda.

“Pada hari biasa saya juga ada menjual ikan pekasam namun tidak sebanyak musim tengkujuh kerana bekalan ikan juga sukar untuk diperoleh. Lagipun pekasam ini menjadi juadah popular yang dimakan bersama nasi panas ketika musim sejuk.

“Selagi apa yang saya lakukan ini halal dan boleh memberi rezeki, saya akan terus mengusahakan perniagaan ikan pekasam kerana tidak ramai anak muda yang tahu membuatnya,” katanya.

Berita Harian X