Isnin, 2 Disember 2019 | 5:15pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pelancaran Pembukaan Bangunan CUEPECS, di Perkarangan Bangunan Pejabat CUEPECS Negeri Sarawak, Jalan Bampfyle, Kuching. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Kerajaan Sarawak tanggung kos sambung kabel elektrik ke rumah penduduk

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya kos penyambungan kabel elektrik bernilai bawah RM5,000 ke kediaman penduduk, mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kemudahan bantuan itu turut dinikmati kakitangan awam meliputi penjawat awam Persekutuan.

Beliau berkata, bagi kos penyambungan kabel elektrik bernilai RM5,001 hingga RM7,000 pula, diskaun sebanyak 70 peratus akan diberikan.

“Ini bermakna pemilik rumah terbabit hanya perlu membayar 30 peratus kos penyambungan kabel elektrik ke kediaman mereka.

“Kos penyambungan bawah RM5,000 pula akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ia berkuat kuasa pada 1 Januari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, dan Pengerusi CUEPACS Sarawak, Ahmad Malie.

Terdahulu, Ahmad dalam ucapannya meminta kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam Persekutuan di Sarawak seperti yang diterima penjawat awam kerajaan negeri.

Pembayaran bantuan khas dua bulan gaji atau minimum RM2,000 itu akan dibuat pada 18 Disember ini.

Menjawab permintaan itu, Abang Johari berkata, kerajaan GPS bagaimanapun tidak dapat menunaikannya berikutan wujud kekangan.

“Tambahan pula, jika kerajaan GPS memberi bantuan khas kepada kakitangan awam Persekutuan di Sarawak, tentu di negeri lain juga akan meminta bantuan sama.

“Namun, sebagai ganti kepada bantuan khas atau bonus itu, kerajaan GPS turut menyediakan kemudahan kepada kakitangan awam Persekutuan di negeri ini, termasuk penyambungan kabel elektrik percuma ke rumah mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kakitangan awam Persekutuan akan menikmati bekalan air percuma bagi bil kurang RM5.

“Kerajaan GPS akan menyediakan bas sekolah percuma di Kuching yang turut dinikmati anak kakitangan awam Persekutuan.

“Perkhidmatan bas sekolah percuma itu dijangka beroperasi pada April tahun depan. Kita sedang menyediakan bas bersesuaian bagi tujuan itu. Selepas pelaksanaan di Kuching, kita akan meneliti untuk menyediakan kemudahan sama di bandar utama lain,” katanya.

Berita Harian X