Isnin, 2 Disember 2019 | 7:32pm
AMIRUL Zarith (kiri) meraikan kegembiraan bersama kedia ibu bapanya, Zamri Ripin (tengah) serta ibunya, Rahimah Idrus (kanan) selepas menerima Anugerah Khas Tuah pada Majlis Konvokesyen ke-15 di Dewan Canselor, Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal. NSTP/Khairunisah Lokman.
AMIRUL Zarith (kiri) meraikan kegembiraan bersama kedia ibu bapanya, Zamri Ripin (tengah) serta ibunya, Rahimah Idrus (kanan) selepas menerima Anugerah Khas Tuah pada Majlis Konvokesyen ke-15 di Dewan Canselor, Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal. NSTP/Khairunisah Lokman.

Berkat selamatkan bapa daripada rentung

ALOR GAJAH: Tindakan nekad seorang pemuda menyelamatkan bapanya yang lumpuh daripada rentung pada Ogos lalu, mendapat pengiktirafan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.

Graduan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan UTeM, Amirul Zarith Zamri, 24, diiktiraf sebagai penerima sulung Anugerah Khas TUAH sempena Majlis Konvokesyen Ke-15 universiti terbabit, di Durian Tunggal, di sini.

Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan Canselor UTeM yang juga Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Menceritakan detik itu, Amirul Zarith berkata tragedi yang berlaku kira-kira jam 2 petang pada 21 Ogos lalu menyebabkan rumahnya di Kampung Jengka Batu 13, Maran, Pahang hangus terbakar, menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Pemuda terbabit, yang kini menyewa di sebuah rumah di Maran, berkata sebelum kejadian beliau berada dalam bilik air dan dikejutkan oleh jeritan ibunya, Rahimah Idrus, 60, sebelum melihat keadaan di bahagian tengah rumah berasap.

Katanya, melihat keadaan itu, beliau bergegas keluar dan tekad menyelamatkan ayahnya, Zamri Ripin, 62, yang berkerusi roda kerana mengidap angin ahmar sejak setahun lalu itu dengan menggendongnya keluar dari rumah berkenaan.

“Beberapa minit selepas itu, api terus marak, menyebabkan keseluruhan rumah kami terbakar dan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Menurutnya, keperitan hidup keluarga ditambah dengan kesusahan bapa yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan satu ketika dulu, mendorongnya belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang selain aktif dalam sukan.

Anugerah TUAH mula diperkenalkan UTeM tahun ini bagi menghargai serta mengiktiraf penuntut yang dikenal pasti mempunyai semua ciri-ciri Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik (TUAH).

Selain itu, penuntut perlu mempunyai pencapaian akademik dan profil yang mantap, mempunyai semangat kesukanan serta sukarelawan tinggi selain menonjolkan ciri kepemimpinan dan keberanian jitu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Nur Shukri Jawahir, 23, berkata pemergian ibunya, Jaminah Pasiman, sembilan tahun lalu tidak pernah melemahkan semangat mahu cemerlang sehingga berjaya meraih Anugerah Pelajaran Diraja.

Beliau yang berasal dari FELDA Simpang Waha, Kota Tinggi, Johor, berkata keputusan sederhana ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorongnya terus berazam untuk berjaya selepas menerima tawaran belajar di UTeM.

Sementara itu, Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian, Ng Xin Ni, yang turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja, bersyukur kerana tidak pernah terlintas di fikiran akan berjaya mendapatkannya.

Pada majlis konvokesyen itu, 2,993 graduan menerima ijazah serta diploma membabitkan 21 penerima Ijazah Doktor Falsafah, seorang penerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, 240 Ijazah Sarjana selain 2,245 Ijazah Sarjana Muda dan 385 Diploma.

Berita Harian X