Selasa, 3 Disember 2019 | 3:20pm
AMAR Douglas Uggah Embas.

Pegawai penyelidik pertanian tunjang pengeluaran makanan Sarawak

KUCHING: Pegawai penyelidik pertanian digesa memastikan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sejajar dengan sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran makanan.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Justeru, katanya, usaha perlu dijalankan untuk memperluaskan teknologi dalam sektor pertanian selain memastikan teknologi itu sesuai dengan keperluan sektor pertanian di negeri ini.

“Sehubungan itu, pegawai penyelidik perlu memastikan program R&D serta projek adalah selari dengan sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya dalam perasmian Mesyuarat Pengembangan Pegawai Penyelidikan (ROPM) 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, pada mesyuarat tiga hari dihadiri 95 pegawai penyelidik pertanian termasuk dua dari Sabah.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata ketika ini lima tumpuan utama sub sektor pertanian dikenal pasti iaitu penternakan, perikanan, komoditi, tanaman makanan serta produk dan pemprosesan makanan.

Katanya, ia termasuk tanaman makanan seperti durian, nanas, kelapa, pisang, padi dan sayuran sementara bagi perikanan pula, tumpuan utama ialah ternakan ikan seperti tilapia, siakap dan kerapu selain udang.

“Justeru, kita harus tumpu kepada penggunaan teknologi digital bagi menarik dan menggalakkan usahawan baru khususnya dalam kalangan belia, untuk menceburi bidang pertanian.

“Sarawak kaya dengan biodiversiti, sumber air yang banyak, sumber marin yang besar dan tanah yang luas,” katanya.

Berita Harian X