Selasa, 3 Disember 2019 | 5:22pm
MENDAPAN tanah di Loji Rawatan Air Bukit Remah, dekat Tanah Merah. - Foto ihsan AKSB

Bekalan air kepada lebih 16,000 akaun terjejas

KOTA BHARU: Hujan lebat sejak beberapa hari menyebabkan berlaku mendapan tanah di Loji Rawatan Air Bukit Remah, dekat Tanah Merah, semalam.

Kejadian itu menyebabkan paip air bersih bersaiz 700 milimeter (mm) di loji rawatan itu tidak stabil dan berisiko untuk bocor dan perlu dibaiki segera.

Ketua Jabatan Operasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Khairuddin Wan Omar, berkata kerja membaik pulih paip agak rumit kerana kedudukannya yang agak dalam sekitar 7.6 meter serta berlaku pergerakan pada tanah.

“Kerja membaik pulih dijangka memakan masa lebih kurang empat hari dan ia akan mengganggu bekalan air bersih kepada 16,700 akaun di sekitar lokasi itu.

“Jangkaan gangguan air bermula hari ini sehingga Jumaat ini. Atas kesulitan yang berlaku pihak AKSB akan melakukan sebaik mungkin dalam memastikan kerja-kerja pembaikian paip dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, AKSB akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan kembali bekalan air bersih demi kesejahteraan pengguna.

Berita Harian X