Selasa, 3 Disember 2019 | 5:28pm
Pegawai dan anggota TUDM bersama penduduk mengangkat bekalan makanan turun dari helikopter untuk disalurkan kepada mangsa banjir di FELCRA Keruak, Besut, hari ini. - Ihsan TUDM
Pegawai dan anggota TUDM bersama penduduk mengangkat bekalan makanan turun dari helikopter untuk disalurkan kepada mangsa banjir di FELCRA Keruak, Besut, hari ini. - Ihsan TUDM

TUDM bantu hantar 1,500 kg keperluan asas kepada mangsa banjir

BESUT: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan menghantar bantuan bekalan keperluan asas seberat 1,500 kilogram kepada mangsa banjir di sekitar kawasan FELCRA Keruak di sini, hari ini.

TUDM menerusi satu kenyataan berkata, barangan terbabit dihantar menggunakan helikopter EC 725AP dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Padang Bola FELCRA Keruak, bermula jam 10 pagi.

“Barangan keperluan asas seperti beras, biskut, bihun, kicap, tikar, toto dan khemah itu adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak TUDM membantu menghantar bekalan terbabit menggunakan helikopter yang dipandu oleh Mejar Zool Amali Shodali bersama Kapten Wan Muhammad Haqimi Wan Zin.

“Misi berkenaan diketuai oleh Leftenan Kolonel Nor Mizan Md Nor bersama Mejar Mohd Noor Hafiz Mat Said, Mejar Tytin Sabrina Mustapha, Kapten Azila Abdullah.

“Semua barangan terbabit berjaya diserahkan kepada mangsa banjir di FELCRA Keruak dengan selamat,” katanya.

Berita Harian X