Selasa, 3 Disember 2019 | 5:40pm
KETUA Jabatan Operasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Khairuddin Wan Omar. - Foto ihsan AKSB

16,700 akaun pengguna dijangka alami gangguan bekalan air 4 hari

KOTA BHARU: Sejumlah 16,700 akaun pengguna dijangka mengalami gangguan bekalan air selama empat hari hingga Jumaat ini berikutan pelaksanaan kerja baik pulih di Loji Rawatan Air Bukit Remah, dekat Tanah Merah.

Kerja baik pulih itu dilakukan susulan mendapan tanah di loji berkenaan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Kejadian itu menyebabkan paip air bersih bersaiz 700 milimeter (mm) di loji terbabit tidak stabil dan berisiko untuk bocor, sekali gus perlu dibaiki segera.

Ketua Jabatan Operasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Khairuddin Wan Omar, berkata kerja membaik pulih paip itu bagaimanapun agak rumit kerana kedudukannya agak dalam kira-kira 7.6 meter, selain berlaku pergerakan tanah.

“Kerja baik pulih dijangka memakan masa kira-kira empat hari dan ia akan mengganggu bekalan air bersih kepada 16,700 akaun di sekitar lokasi itu.

“Gangguan bekalan air dijangka bermula hari ini hingga Jumaat. AKSB akan melakukan yang sebaik mungkin bagi memastikan kerja baik pulih itu dapat disiapkan mengikut masa ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, AKSB komited kepada usaha memulihkan kembali bekalan air bersih demi kesejahteraan pengguna.

Berita Harian X