Selasa, 3 Disember 2019 | 5:49pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Edmund Samunting

IR 4.0 menjadikan produk lebih berdaya saing

KOTA KINABALU: Revolusi Perindustrian 4.0 atau IR 4.0 dijangka menjadikan produk lebih berdaya saing, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan eksport kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri kini mendokong IR 4.0 dalam usaha untuk membangunkan negeri.

“Bagi mencapai aspirasi itu, kerajaan perlu membabitkan diri dan memainkan peranan penting dengan menyediakan infrastruktur yang relevan untuk menampung IR 4.0.

“Beberapa teknologi yang mengubah industri pengeluaran seperti teknologi spatial, sistem pemantauan jarak jauh, sistem pembungkusan pintar dan pembuatan sektor minyak sawit juga antara contoh yang membuktikan Sabah mengaplikasikan IR 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Perkayuan dan Biofibre 2019 (WOBIC2019) di sini, hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

Kata Mohd Shafie lagi, ada aplikasi kini sudah digunakan oleh penanam kelapa sawit untuk menyelaras kerja di ladang.

“Aplikasi baru yang dilancarkan oleh LintraMax (M) Sdn Bhd iaitu QuartoConnect, digunakan dalam peranti mudah alih dan berfungsi sebagai alat untuk penanam merekod data secara digital ketika di lapangan dan ia boleh dicapai atau disimpan secara dalam talian.

“Ini memudahkan pengurus mengakses data dengan cepat pada bila-bila masa saja,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata penggunaan IR 4.0 dalam aktiviti hiliran akan meningkatkan nilai tambah produk dengan kos yang rendah.

“Ia akan menjadikan produk lebih berdaya saing dan saya percaya melalui penyelidikan, pembangunan serta inovasi yang lebih baik boleh dibangunkan dan dipasarkan pada peringkat global, sekali gus meningkatkan pendapatan eksport kerajaan negeri,” katanya.

Berita Harian X