Selasa, 3 Disember 2019 | 8:16pm
Kerja pembinaan tembok penahan ombak giat dijalankan di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. - NSTP/Hassan Omar

Penantian empat bulan berakhir

ALOR GAJAH: Kerja pembinaan tembok penahan ombak bagi mengatasi ancaman hakisan pantai di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini sudah dimulakan, sekali gus mengakhiri kebimbangan penduduk setempat.

Hakisan pantai dan ombak besar yang melanda pantai berkenaan sejak empat bulan lalu itu mencetuskan kebimbangan kerana kediaman mereka kurang lima meter dari gigi pantai dan berkemungkinan musnah dihempas ombak.

Bagaimanapun, mereka tidak lagi bimbang berikutan kerja pembinaan tembok itu melalui konsep batu lapis lindung atau ‘rock revetment’ mula dilaksanakan kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka pada minggu lalu.

Penduduk paling terkesan dengan pembinaan tembok itu ialah pesara polis yang sebelum ini terpaksa melupakan risiko diserang sakit jantung bagi membina benteng menggunakan guni pasir dan tayar terpakai semata-mata untuk menyelamatkan kediamannya daripada musnah.

Bagi Mohd Satar Maarof, 65, yang terpaksa ‘berpura-pura’ tidak menghidap penyakit jantung ketika mengisi pasir ke dalam guni dan tayar, kini boleh menarik nafas lega apabila jentera pengorek memulakan kerja menyusun bongkah batu besar di pantai berhampiran rumahnya.

Dia dan isteri, Latifah Aziz, 64, tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membina benteng berkenaan selepas hakisan pantai semakin teruk sejak Ogos lalu berikutan ombak besar dan air pasang penuh yang dibawa oleh angin selatan.

“Saya pernah diserang sakit jantung pada 2017 dan menjalani prosedur angioplasti di Institut Jantung Negara (IJN) serta dinasihatkan doktor supaya tidak membuat kerja berat.

“Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan risiko itu untuk menyiapkan benteng pasir kerana kediaman kami hanya beberapa meter dari gigi air,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah, berkata projek sama turut dijalankan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, yang mengalami masalah sama.

“Projek ini dibuat berdasarkan peruntukan kerajaan negeri dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat minggu. Apabila siap, ia berfungsi mengelakkan hakisan pantai bagi jangka panjang sejajar dengan konsep batu lapis lindung yang diguna pakai,” katanya.

Berita Harian X