Rabu, 4 Disember 2019 | 3:59pm
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (tiga dari kanan) menghadiri Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). - NSTP/L Manimaran

Sarawak beri insentif RM500 kepada penjawat awam Persekutuan

KUCHING: Penjawat awam Persekutuan di Sarawak akan menerima insentif RM500 daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan mereka.

Walaupun langkah itu bukan satu kebiasaan, ia dilaksanakan selepas mengambil kira keputusan Kerajaan Sarawak untuk memberi bantuan khas kewangan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam negeri, bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata insentif berkenaan akan dibayar pada Jun tahun depan.

“Kerajaan Sarawak menghargai perkhidmatan penjawat awam Persekutuan di negeri ini.

“Saya sudah berbincang dengan barisan Kabinet negeri dan kita membuat keputusan untuk menambah bantuan kewangan kepada penjawat awam Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 94,971 penjawat awam Persekutuan sedang berkhidmat di negeri ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen, Oktober lalu, mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara kerajaan yang turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen. Kedua-dua bantuan itu akan dibayar sebelum akhir tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, sebelum ini memaklumkan seramai 16,000 penjawat awam negeri akan menerima bayaran bantuan khas kewangan pada 18 Disember ini.

Bayaran itu dibuat pada tarikh sama kakitangan awam negeri menerima gaji sebelum perayaan Krismas.

Berita Harian X