Khamis, 5 Disember 2019 | 8:18am
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka ke pameran Dinosaur Encounter sempena cuti sekolah. - Foto BERNAMA
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka ke pameran Dinosaur Encounter sempena cuti sekolah. - Foto BERNAMA

Selami dunia dinosaur melalui teknologi AR

KUALA LUMPUR: Pameran Dinosaur Encounter, yang berteraskan teknologi realiti terimbuh (AR), buat julung kali diadakan di Pusat Sains Negara (PSN) bagi mengajak pengunjung untuk merasai sendiri aura kehidupan sebenar dinosaur pada zaman prasejarah.

Penolong Pegawai Sains PSN Seksyen Pameran, Saripah Zarina Wan Abu Bakar, berkata pameran ini lain daripada pameran yang dianjurkan sebelum ini kerana pengunjung boleh melihat bagaimana kehidupan dinosaur pada zaman itu dengan lebih efektif melalui teknologi AR.

“Melalui sains dan teknologi, kami bawa pengunjung seolah-olah berada dalam zaman itu dan merasai bagaimana berada pada zaman pra sejarah ketika dinosaur pupus melalui beberapa fenomena alam semula jadi seperti letusan gunung berapi dan penemuan fosil.

“Untuk AR dan dinosaur animatronic kami bawakan mesin khas dari luar negara dengan kerjasama WeGrow Global Sdn Bhd untuk bangunkan 18 ekor dinosaur yang terdiri daripada sembilan spesis yang ditempatkan dalam Dinosaur Encounter yang kebanyakannya bersaiz sebenar,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Renjer Dinosaur Encounter, Mohamad Ashraf Md Salleh, berkata pengunjung dapat melihat dinosaur hidup semula menggunakan skrin tablet (Ipad) yang disediakan.

“Satu aplikasi telah dipasang di dalam Ipad iaitu AR di mana apabila kita imbas tulang rangka dinosaur menerusi aplikasi itu, pengunjung dapat melihat rangka itu seolah hidup semula dan menjadi bentuk asal,” katanya.

Bagi Saifulnizam Nordin, 46, dari Perak, merasakan lawatannya bersama anak-anak ke pameran itu amat bermanfaat berbanding membawa mereka ke pusat membeli-belah kerana boleh menambah ilmu pengetahuan.

“Masa yang diluangkan di PSN begitu menyeronokkan kerana kami dapat pengetahuan tentang kehidupan dinosaur dan spesis binatang yang kita tidak merasai kewujudannya pada zaman dahulu,” katanya.

Eileen Lui, 33, dari Tawau pula, berkata pameran itu mendedahkan mereka sekeluarga untuk merasai kehidupan pada zaman dinosaur yang amat menarik, dan ianya pengalaman yang menyeronokkan.

“Di pameran ini saya boleh membawa anak untuk menerokai mengenai dinosaur yang tentunya amat baik dan menarik. Anak saya sangat gembira dan seronok berada di sini. Yang menjadi kesukaan mereka ialah dinosaur,” katanya.

Peminat dinosaur Aiman Rashdan Abdul Rashid, 14, dari Subang Jaya yang dari kecil mengimpikan untuk melihat dinosaur di depan matanya, tidak dapat mengawal kegembiraannya apabila impiannya menjadi kenyataan.

“Seronok sebab dari kecil bermimpi untuk tengok dinosaur depan mata akhirnya tercapai juga. Di sini, dapat belajar mengenai dinosaur dengan lebih teliti daripada buku teks di sekolah dan dapat tahu data dinosaur seperti saiz sebenar dan bagaimana ia pupus,” katanya.

Pusat Sains Negara sebelum ini pernah mengadakan pameran mengenai dinosaur iaitu rekod ‘Dinos Alive’ pada 2011 dan ‘Dinosaurs Live’ pada tahun 2012.

Selain pameran dinosaur, pengunjung juga boleh melawat akuarium hidupan marin, akuarium ikan air tawar, galeri Wonderspark, galeri Eureka, rumah akuatik, water plaza dan survive the bunker.

Pameran ‘Dinosaur Encounter’ dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Jumaat bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk RM15 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak kanak.

Pameran Dinosaur Encounter ini menarik lebih 35,000 pengunjung sejak dibuka pada 2 November lepas, dan Pusat Sains Negara menganggarkan 50,000 akan mengunjungi pameran itu hingga akhir tahun ini. – BERNAMA

Berita Harian X