Khamis, 5 Disember 2019 | 9:45am

Kedah latih pegawai zakat antarabangsa

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjadi agensi zakat pertama di dunia melatih pegawai zakat dari negara Islam membangun di Akademi Zakat Antarabangsa Kedah (KIZA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman, berkata sehingga kini pihaknya sudah melatih wakil agensi zakat dari Uganda dan Ghana dan terkini adalah Nigeria.

Katanya, mereka adalah terdiri daripada pakar Teknologi Maklumat (IT) yang mempelajari mengenai modul dan kaedah kutipan zakat yang disediakan LZNK.

“Agensi zakat luar negara yang berminat hanya perlu tanggung kos pegawai mereka ke Malaysia dan LZNK akan sediakan tempat mereka mengikuti modul merangkumi bidang perakaunan dan audit.

“Selepas ini, kita dijangka menerima pegawai zakat dari India, Senegal dan Tanzania. Kita juga akan memperkenalkan mereka aplikasi Zakat On Touch (ZOT) yang akan memudahkan pembayar memantau dan menyemak kutipan serta pengagihan zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat-Syarikat Korporat dan Pelancaran Sistem ZOT, di sini, malam tadi.

Hadir merasmikan majlis itu Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihaknya juga bakal mendapat bantuan Islamic Development Bank (IDB) Jeddah dalam memperkemaskan lagi bidang pengurusan zakat.

“Mereka (IDB) lihat kita berpotensi dalam memberi khidmat kepada negara Islam membangun, dalam masa sama pengurusan kita juga dilihat telus tanpa ada apa-apa yang terselindung.

“Jadi kita mengalu-alukan negara Islam lain serta lembaga zakat dari negeri lain mempelajari sistem yang kita ada, setakat ini yang Lembaga Zakat Selangor (MAIS) turut akan datang mempelajari modul LZNK,” katanya.

WAKIL Kedah Medical Centre Sdn Bhd, Datuk Kamaruzaman Ali (kanan) menyampaikan replika cek bernilai kepada Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merangkap Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat-Syarikat Korporat dan Pelancaran Sistem ZOT, di Alor Setar, malam tadi. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman. - Foto BERNAMA
Berita Harian X