Khamis, 5 Disember 2019 | 4:14pm
Abd Rahim menggunakan perahu untuk menghantar makanan kepada binatang ternakannya. - NSTP/Syaherah Mustafa

Terpaksa berperahu hantar makanan untuk kambing

RANTAU PANJANG: Seorang pengembala kambing di Kampung Bukit Lata, di sini menggunakan perahu untuk menghantar makanan kepada binatang ternakannya itu selepas kawasan sekitarnya ditenggelami banjir sedalam dua meter sejak beberapa hari lalu.

Abd Rahim Latiff, 64, berkata sebanyak 15 kambing dan beberapa ekor lembu yang ditempatkan dalam kandang di tempat lebih tinggi bagi menyelamatkan ternakannya dari banjir kerana kedudukan penempatan mereka sering dinaiki air.

Katanya, bukan saja kambing, haiwan ternakan lain seperti 20 ayam turut ditempatkan di tempat yang sama.

Malahan, lima kucing peliharaannya juga turut diletakkan bersama di kandang kambing itu untuk mengelakkan daripada dihanyutkan banjir.

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, sejak banjir melanda kampungnya, setiap hari dia mengharungi banjir menggunakan sampan untuk ke kandang yang terletak di sebelah rumahnya.

“Pada awal pagi saya akan menaiki perahu untuk ke kawasan yang tidak ditenggelami air bagi mencerut rumput sebelum membawanya ke kandang untuk diberi makan kepada haiwan ternakan saya.

“Selain kambing saya turut memelihara 20 ekor ayam dan lima kucing yang turut ditempatkan di dalam kandang terbabit. Selain itu, beberapa ekor lembu yang sudah dialihkan di kawasan selamat.

“Saya mengangkut rumput menggunakan sampan dan ada masanya hanya berenang ke kandang bagi meninjau keadaan kambing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lata, di sini.

Sementara itu, tinjauan mendapati banjir sudah mulai surut di Pekan Rantau Panjang, namun masih melimpahi jalan di beberapa kawasan rendah seperti Kampung Tasek Bakong, Kampung Bukit Lata, Kampung Lachang, Kampung Jeram Perdah, di sini.

Abd Rahim berkata, ketika banjir 2017 dia mengalami kerugian ribuan ringgit apabila 13 kambingnya mati akibat banjir.

“Alhamdulillah, kali ini semua kambing peliharaan saya selamat, namun air yang naik hampir memasuki kandang kerana banjir yang agak besar pada tahun ini.

“Saya berharap jika banjir berlaku lagi, ia tidaklah bah yang besar kerana khuatir dengan keselamatan diri dan keluarga serta ternakan saya,” katanya.

Berita Harian X