Jumaat, 6 Disember 2019 | 3:04pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Menara JLand di Johor Bahru, baru-baru ini. - Foto ihsan JCorp
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Menara JLand di Johor Bahru, baru-baru ini. - Foto ihsan JCorp

Menara JLand 34 tingkat jadi mercu tanda baharu JB

JOHOR BAHRU: Menara setinggi 37 tingkat dibina Johor Land Berhad (JLand) atau dikenali sebagai Menara JLand kini menjadi mercu tanda dan tarikan baharu bandar raya ini.

Menara JLand turut dinobatkan sebagai bangunan pertama di bandar raya ini memperoleh Persijilan Emas bagi Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan bangunan pejabat bertaraf gred A di dalam Ibrahim International Business District (IIBD).

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata kedudukan Menara JLand sangat strategik kerana terletak di pintu masuk IIBD dan Iskandar Malaysia dari arah Singapura.

Katanya, Menara JLand juga mempunyai akses keluar masuk melalui jaringan penghubung yang terbaik dari enam pusat pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan 60 kilometer iaitu Pasir Gudang, Senai, Iskandar Puteri, Tanjung Langsat, Tanjung Pelepas dan Pengerang.

“Selain itu, lokasinya juga amat strategik dengan jajaran jejantas pejalan kaki yang menghubungkan bangunan dan pusat beli-belah di bandar raya ini.

“Kami juga yakin lokasi bangunan ini yang strategik dan terletak di kawasan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura akan turut menyumbang kepada kejayaan jangka panjang Menara JLand,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menara JLand yang terletak di atas pusat beli-belah Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) memiliki struktur bangunan 37 tingkat termasuk tujuh tingkat podium JBCC setinggi 170 meter direka bentuk dengan mengambil kira seni bina di sekitarnya terutama menara kembarnya iaitu Menara Komtar.

Mercu tanda itu turut mempunyai ruang boleh disewa berkeluasan lebih 27,870 meter persegi dengan keluasan lantai bagi setiap tingkat adalah di antara 743 hingga 1,114 meter persegi, selain terdapat tingkat tertentu berhubung terus dengan ‘premium sky garden’.

Bahagian atas bangunan dibina dalam bentuk tanjak bagi membolehkan pemandangan dilihat dari pelbagai sudut dengan paparan fenomena visual yang unik.

Keunikan bangunan ini juga lebih terserlah pada waktu malam dengan adanya pencahayaan fasad bangunan yang menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED).

Minggu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Menara JLand, selain meluangkan masa meninjau tarikan terbaru itu.

Berita Harian X