Ahad, 8 Disember 2019 | 6:55pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Jakel Langkawi, hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan). - Foto Sharul Hafiz Zam
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Jakel Langkawi, hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan). - Foto Sharul Hafiz Zam

Perdana Menteri rasmi Jakel Langkawi

LANGKAWI: Pusat gedung tekstil terkemuka, Jakel, secara rasmi membuka cawangannya yang ke-22 di Langkawi Fair, Kuah, yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata pembukaan cawangan terbaharu itu adalah pencapaian terbaik Jakel yang masih mengekalkan momentum mengemudi perniagaan industri tekstil dalam keadaan ekonomi semakin kompetitif.

Katanya, pembukaan cawangan ini juga bertujuan memacu dan membantu membangunkan ekonomi Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong membeli belah di pulau ini, sekali gus mewujudkan 150 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Sebagai syarikat yang prihatin, pembukaan Jakel terbaharu ini dapat membantu meringankan beban warga Langkawi bagi mendapatkan kain Jakel dengan lebih mudah tanpa perlu ke tanah besar.

“Turut menjadi faktor pembukaan cawangan Jakel baharu ini adalah lokasinya sangat strategik iaitu di pusat membeli belah di Kuah yang menjadi lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Harga di Jakel Langkawi adalah 10 peratus lebih rendah berbanding cawangan lain kerana Langkawi adalah pulau bebas cukai,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Jakel Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun.

Sempena pembukaan cawangan baharu itu juga, Jakel Langkawi memberi tawaran istimewa separuh harga bagi barangan terpilih dan tawaran penurunan harga sehingga 75 peratus bagi semua pelanggan yang berkunjung sehingga 5 Januari tahun depan.

Sementara itu, Mohamed Faroz berkata pihaknya dalam perancangan membuka cawangan Jakel di Kuching dan Miri, Sarawak, pada tahun hadapan.

“Jakel kini mempunyai cawangan di semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Sarawak. Perancangan kita untuk tahun hadapan atau pada 2021 adalah membuka cawangan di negeri berkenaan.

“Selain itu, kita juga akan membangunkan aplikasi jualan dalam talian bagi memudahkan pelanggan membeli produk keluaran Jakel pada masa hadapan,” katanya.

Berita Harian X