Selasa, 17 Disember 2019 | 9:54pm
ABDUL Halim Mat Hassan graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap penyakit kanser pangkal hidung tahap empat menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan Kepujian dari Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail (dua kanan) di rumahnya di Kampung Kok Kiak Baka. NSTP/Fathil Asri.

Graduan hidap kanser tahap empat dirai konvokesyen mini penuh istiadat di rumah

MACHANG: Seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap penyakit kanser pangkal hidung tahap empat, terharu menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di rumahnya di Kampung Kok Kiak Baka, di sini, hari ini.

Lebih istimewa, pihak UMK mengadakan konvokesyen mini itu dengan penuh istiadat apabila Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail, bersama pengurusan tertinggi universiti memakai jubah konvokesyen ketika menyampaikan ijazah kepada Abdul Halim Mat Hassan, 25.

Abdul Halim berkata, beliau sepatutnya menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK Ke-9 pada 19 Oktober lalu, namun terpaksa membatalkan niat terbabit berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan ketika itu.

“Ketika itu, saya berasa sebak kerana tidak dapat menyarung jubah konvokesyen dan melangkah naik ke atas pentas untuk menerima segulung ijazah serta berkongsi kegembiraan dengan rakan lain.

“Namun hari ini, saya sangat gembira kerana konvokesyen mini diadakan di rumah dengan penuh adat istiadat sambil disaksikan seluruh keluarga, termasuk ibu, Mariah Ismail, 59, dan ayah, Mat Hassan Hamad, 63, serta nenek, Zainab Sulaiman, 109, yang sudah uzur.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan, pensyarah dan ahli keluarga yang banyak membantu serta memberi semangat sehingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khas Penyampaian Skrol Ijazah Sarjana Muda di rumahnya, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, beliau dikesan menghidap penyakit kanser pada Oktober 2017 selepas berasa kebas di bahagian pipi, malah mata kirinya turut menjadi buta.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser pangkal hidung dan perlu menjalani rawatan seperti pesakit barah lain.

“Selama setahun, saya menjalani rawatan termasuk radioterapi sebanyak 36 kali dan kemoterapi tujuh pusingan untuk menghalang sel kanser daripada merebak. Pada masa sama, doktor juga terpaksa menebuk bahagian leher saya untuk saluran pernafasan.

“Sejak itu, saya hanya boleh mengambil makanan lembut serta susu dan pada masa sama, berpantang dan mengelak mengambil makanan yang boleh menyebabkan sel kanser semakin aktif,” katanya.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, konvokesyen mini berkenaan adalah yang kedua selepas pernah diadakan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada Disember tahun lalu untuk meraikan graduan yang menghidap penyakit saraf.

“Majlis ini adalah inisiatif UMK untuk menghargai penat lelah graduan yang selama ini bertungkus lumus demi menggenggam segulung ijazah, sekali gus memberi semangat kepadanya.

“Saya juga mendoakan semoga Abdul Halim terus diberi kekuatan untuk melawan penyakit yang dihidapi, selain diberi kesembuhan,” katanya.

Berita Harian X