Selasa, 24 Disember 2019 | 2:35pm
AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang menyerahkan peralatan memadam api kepada Tuai Rumah Bruin sambil disaksikan ahli JKKK Rumah Bruin Sungai Ara di Lubok Antu. NSTP/Melvin Joni
AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang menyerahkan peralatan memadam api kepada Tuai Rumah Bruin sambil disaksikan ahli JKKK Rumah Bruin Sungai Ara di Lubok Antu. NSTP/Melvin Joni

Cegah risiko kebakaran rumah panjang

LUBOK ANTU: Penubuhan Jawatankuasa Pencegah Kebakaran (JPK) mampu menangani kes kebakaran rumah panjang yang sering berlaku di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, berkata peranan utama jawatankuasa itu adalah bagi mengawasi sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan risiko kebakaran, selain merangka pelan pencegahan berkaitan.

“Rumah panjang mengambil masa lama untuk dibina, malah ada yang diwarisi dari turun temurun daripada generasi terdahulu. Amat merugikan jika ia musnah dalam sekelip mata disebabkan oleh kebakaran.

“Justeru, kita perlu bertindak awal sebelum berlaku kebakaran, termasuk merangka pelan pencegahan sewajarnya, termasuk menyebarkan kesedaran mengenai risiko kebakaran dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peralatan Pemadam Api dan Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Bruin, Sungai Ara, di sini hari ini.

Jugah turut menyarankan komuniti rumah panjang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam meningkatkan tahap keselamatan di kediaman masing-masing.

Katanya, melalui jalinan kerjasama itu, komuniti rumah panjang berpeluang menimba pengetahuan mengenai usaha pencegahan kebakaran dan kepentingan menjaga peralatan pemadam api agar dapat digunakan pada waktu kecemasan.

“Kita berharap JBPM dapat membuat pemeriksaan berkala dari segi aspek keselamatan pendawaian elektrik, penyediaan pili bomba dan kemudahan alat pemadam api di rumah panjang.

“Ini termasuk memberi latihan asas kepada penduduk untuk mengawal dan mencegah kebakaran daripada memusnahkan kediaman mereka,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X