Rabu, 25 Disember 2019 | 12:53pm
PENIAGA, Fatimah Abdullah menunjukkan kesan hakisan pantai yang berlaku hingga ke gerainya ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto BERNAMA

Hakisan pantai: UMT, UIAM, NAHRIM cari penyelesaian

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) menjalankan penyelidikan bersama mencari penyelesaian masalah hakisan pantai yang semakin kritikal di Terengganu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr Effi Helmy Ariffin, berkata kajian oleh enam penyelidik itu bermula Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2021.

Katanya, hakisan teruk yang berlaku di Terengganu pada musim tengkujuh tahun ini sehingga menyebabkan pelbagai kemusnahan disebabkan fenomena ribut luruan yang dahsyat.

“Ia menyebabkan kadar hakisan yang tinggi di sepanjang garis pantai di Terengganu. Sebelum ini, kawasan yang mudah terdedah dengan kesan ribut luruan ialah di kawasan pantai Dungun dan Kemaman yang lebih rendah dari sudut muka bumi,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian yang berlaku pada 27 November lalu ketika bulan penuh mempengaruhi air pasang besar sehingga 2.7 meter di utara Terengganu dan 3.4 meter di selatan Terengganu.

“Ini mengakibatkan berlaku ribut luruan yang lebih tinggi dan memberi kesan hakisan setinggi dua hingga tiga meter di sepanjang garis pantai di Terengganu,” katanya.

Kumpulan penyelidik itu mendapati penyelesaian jangka pendek ialah membina benteng pemecah ombak, namun ia akan memberi kesan hakisan kepada kawasan pantai di sebelah utara.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, katanya, kerajaan disaran agar membiarkan sebahagian kawasan Kuala Nerus menjadi teluk secara semula jadi kerana ia akan mengurangkan tenaga ombak di kawasan utara.

“Ini terbukti kerana hakisan yang berlaku di Pengkalan Maras telah memperlahankan tenaga ombak di bahagian utara, manakala di kawasan pantai Kemaman dan Dungun pula, kerajaan perlu membina benteng seperti di Kuala Selangor, Selangor kerana ia boleh mengurangkan kesan kenaikan paras air laut.

Selain dibuat untuk mengelakkan kemasukan air laut ke kawasan darat, beliau berkata, benteng yang dibina di Kuala Selangor juga boleh digunakan untuk aktiviti pertanian.

“Pantai di Besut dan Setiu pula perlu dibiarkan secara semula jadi kerana kawasan teluk yang ada di Kuala Nerus itu nanti akan mengurangkan hakisan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan teluk itu akan berlaku secara semula jadi namun untuk pembinaan secara tiruan, ia memerlukan kajian mendalam termasuk dari segi kos dan kesan jangka masa panjang. – BERNAMA

Berita Harian X