Rabu, 25 Disember 2019 | 3:55pm
Rohaidatul Asma Jusoh (kanan) menziarah Rosnah Nordin dan suaminya, Kamarulzaman Ibrahim yang terlantar akibat angin ahmar di Jalan Bandar Universiti 21, Seri Iskandar. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Rohaidatul Asma Jusoh (kanan) menziarah Rosnah Nordin dan suaminya, Kamarulzaman Ibrahim yang terlantar akibat angin ahmar di Jalan Bandar Universiti 21, Seri Iskandar. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Ketua keluarga diserang angin ahmar

SERI ISKANDAR: Kehidupan lima beranak di Jalan Bandar Universiti 21, di sini berubah sepenuhnya selepas ketua keluarga mereka terlantar akibat angin ahmar sejak sebulan lalu.

Surirumah, Rosnah Nordin, 49, berkata, suaminya, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mempunyai penyakit darah tinggi dan kini lumpuh sebelah badan bahagian kanan serta tidak boleh bercakap akibat angin ahmar.

Katanya, sejak itu suaminya tidak boleh bekerja dan perbelanjaan keluarga ditanggung sepenuhnya anak ketiga mereka yang bekerja di sebuah pasar raya.

“Suami diserang strok ketika mahu bersiap ke tempat kerjanya dan saya melihat dia terbaring di atas katil dengan mulut yang sudah herot serta tidak boleh bertutur dengan sempurna.

“Sejak itu, anak sulung terpaksa bercuti sementara waktu kerana membantu saya menguruskan suami dan membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Rosnah ditemui bersama aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh yang turut menyampaikan sumbangan di rumah sewanya di Jalan Bandar Universiti, hari ini.

Katanya, suaminya yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai percetakan hanya boleh minum susu khas yang berharga RM62 sekotak dan menggunakan lampin pakai buang.

“Suami terpaksa minum susu menggunakan tiub dan sekotak susu hanya tahan tiga hingga empat hari saja, membuatkan kami bimbang kerana pendapatan anak tidak seberapa dan perlu membayar sewa rumah serta bil lain.

“Kelengkapan sekolah anak bongsu, Amirul Farhan, 11, juga masih belum dibeli tetapi bernasib baik kerana dia baru saja mendapat bantuan persekolahan,” katanya.

Rosnah berkata, dia merasa hilang punca apabila suaminya diserang angin ahmar dan buntu memikirkan persekolahan anak dan keperluan susu serta lampin pakai buang Kamarulzaman.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi anak sulung Rosnah, Amirul Fitri di talian 013-793 5549.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X