Selasa, 31 Disember 2019 | 3:04pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan (dua dari kiri) dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming (tiga dari kanan) mengagihkan poster larangan merokok kepada peniaga ketika mengadakan lawatan penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan anjuran Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan (JKN) Perak di Medan Selera Datuk Sagor, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan (dua dari kiri) dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming (tiga dari kanan) mengagihkan poster larangan merokok kepada peniaga ketika mengadakan lawatan penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan anjuran Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan (JKN) Perak di Medan Selera Datuk Sagor, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari

5,330 premis makanan di Perak belum tampal larangan merokok

IPOH: Sebanyak 5,330 atau 33 peratus premis makanan di negeri ini dikesan belum menampal papan tanda larangan merokok sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan dijalankan, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan, berkata pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 15,902 premis makanan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh itu.

Katanya, sebanyak 6,105 notis peringatan dikeluarkan terhadap pemilik premis terbabit dan individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan itu, beliau berkata, pihaknya juga mengesan seramai 8,690 individu masih berdegil menghisap rokok di kawasan larangan.

“Pemantauan dan pemakluman pewartaan kawasan larangan merokok itu dijalankan Jabatan Kesihatan Perak dengan kerjasama pengusaha premis makanan.

“Sebanyak 52 aduan awam (merokok di kawasan larangan) di premis makanan diterima dan sudah diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di tempat makan anjuran Cawangan Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Perak, di Medan Selera Datuk Sagor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Sivanesan menegaskan, pihaknya komited melaksanakan pewartaan itu dan sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan, seramai 346 anggota menjalankan pemantauan, termasuk mengedar risalah berkaitan.

Beliau berkata, penguatkuasaan penuh pewartaan itu yang bermula esok, akan dijalankan setiap hari hingga 14 Januari ini sebelum ia dijalankan dua kali seminggu bermula 15 Januari.

“Pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok itu mengikut Peraturan 11 (d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Perokok yang masih berdegil akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Pemilik premis tidak mempamerkan tanda larangan merokok pula akan dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Sivanesan berkata, pemilik premis yang gagal memastikan pelanggannya tidak merokok di premis makanan pula akan didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Berita Harian X