Rabu, 1 Januari 2020 | 9:19pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto Rozainah Zakaria

Masalah SRIDI Wakaf Mempelam akan diselesai segera - MB

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menambah baik pengurusan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) susulan masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air yang menjejaskan SRIDI Wakaf Mempelam, di Chabang Tiga, di sini, pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata masalah bekalan air dan elektrik di SRIDI Wakaf Mempelam hari ini sudah diselesaikan selepas ia menimbulkan kerisauan dan rasa tidak puas hati ibu bapa yang bimbangkan keselamatan dan keselesaan anak mereka.

“Kita tak boleh beri jaminan masalah seumpamanya tidak akan berulang di SRIDI, nanti kalau berlaku apa-apa, mereka bawa MB (menteri besar) ke mahkamah pula.

“Kita bukan tuhan nak beri jaminan, tetapi kita ambil langkah untuk pastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan dengan kapasiti yang kita ada.

“Kita nak pantau semua keadaan jadi sempurna tidak boleh, pasti akan ada kelemahan, tetapi bukan bermakna kita akan terus berada dalam kelemahan, sebaliknya akan buat penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis pelancaran sistem I-Direktori kerajaan negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat.

Sementara itu, Satiful berkata, masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air di SRIDI Wakaf Mempelam yang menjejaskan 110 murid Tahun Satu hingga Tiga hari ini, sudah diselesaikan.

Beliau berkata, Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mengambil maklum mengenai masalah itu dan ia sudah diselesaikan dalam kadar segera.

Katanya, selepas ini JHEAT akan menjalankan beberapa penambahbaikan, terutama dalam memastikan aspek keselamatan murid dan mengakui masalah bekalan air dan elektrik yang timbul adalah perkara teknikal yang berada di luar pengetahuan mereka.

“Sebelum ini, SRIDI Wakaf Mempelam menumpang di bangunan Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Losong, tidak seperti mana SRIDI lain yang memang kita bangunkan di bangunan baharu.

“Jadi, pihak YIT nak guna bangunan di Losong dan keputusan itu dibincangkan agak lewat menyebabkan urusan ubah suai di bawah Jabatan Kerja Raya, dan mungkin ada perkara teknikal di luar pengetahuan kita yang menyebabkan masalah itu berlaku,” katanya.

Pagi tadi, keterujaan 110 murid SRIDI Wakaf Mempelam, di sini, memulakan hari pertama persekolahan, suram apabila sekolah itu tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Tinjauan di sekolah berkenaan yang beroperasi di blok bangunan rumah kedai berhampiran Pasar Chabang Tiga di sini, mendapati murid terpaksa berhimpun dalam kelas yang panas dan gelap kerana kurang pencahayaan berikutan ketiadaan bekalan elektrik, selain mengangkut air untuk ke tandas berikutan tiada bekalan air.

Disebabkan masalah itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian JHEAT, Toh Puan Aida Tengah berkata, sesi persekolahan SRIDI Wakaf Mempelam ditangguhkan sehingga Ahad ini iaitu masalah kemudahan asas di bangunan itu selesai.

SRIDI bermula pada 2018 di lima lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu); Binjai Rendah (Marang); Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut); sebelum tiga lagi dibuka tahun ini iaitu di Permaisuri, Setiu; Kerteh 1, Dungun dan Kijal, Kemaman.

Kerajaan negeri melalui JHEAT turut mengambil alih pengurusan Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) di Losong yang kini dikenali sebagai SRIDI Wakaf Mempelam.

Berita Harian X