Khamis, 2 Januari 2020 | 12:24pm
Ahmad mengadakan sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baru kepada penjawat awam Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Zaman Huri Isa
Ahmad mengadakan sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baru kepada penjawat awam Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Zaman Huri Isa

Kelantan terima RM400 juta daripada Kerajaan Pusat

KOTA BHARU: Kelantan menerima bantuan sekali beri atau ‘one-off’ sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada Rabu lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata surat khas mengenai bantuan berkenaan diterima daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Disember lalu sebelum wang dimasukkan pada 25 Disember.

Beliau berkata, Dr Mahathir dalam suratnya, memaklumkan peruntukan berkenaan adalah untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Ini bukan wang royalti, sebaliknya dinamakan ‘one-off’ oleh Perdana Menteri sendiri. Justeru, kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri.

“Ini bantuan ‘one-off’ pertama diberikan kepada Kelantan. Sebelum ini kita tidak pernah meminta kerana apa yang diusahakan adalah royalti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu kepada penjawat awam Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Berita Harian X