Sabtu, 4 Januari 2020 | 2:30pm
KEHADIRAN burung hijrah di kawasan sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan. NSTP/Amran Yahya
KEHADIRAN burung hijrah di kawasan sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan. NSTP/Amran Yahya

Burung hijrah singgah di sawah Kampung Lonek

JEMPOL: Kawasan sawah di Kampung Lonek, Batu Kikir, di sini, menjadi seperti pesta dengan kehadiran kumpulan burung hijrah buat pertama kali sejak beberapa hari lalu.

Burung seperti bangau tetapi bersaiz lebih besar itu dipercayai berada di kawasan berkenaan untuk mencari makan sebelum terbang ke kawasan lain.

Kawasan berkenaan kini turut menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat sendiri kehadiran kumpulan burung itu.

Penduduk Kampung Lonek, Zolkefli Mokhtar, 52, berkata penduduk pada mulanya menyangka sekumpulan burung yang sedang terbang itu burung helang.

“Bagaimanapun, sebaik kumpulan burung itu turun ke sawah ia kelihatan seperti bangau tetapi lebih besar, selain mempunyai kaki dan paruh lebih panjang.

“Saya difahamkan burung ini juga dapat dilihat sekitar kawasan sawah di Juasseh,” katanya ketika ditemui di Kampung Lonek di sini, hari ini.

Katanya, pada sebelah siang, burung itu dapat dilihat berada di kawasan berair dan parit untuk mencari makanan, selain hinggap di pokok kelapa dan pokok buah berhampiran rumah penduduk.

“Apa yang saya nampak burung ini tidak ganas dan tidak juga mengganggu penduduk,” katanya yang tidak pasti berapa lama haiwan itu akan berada di kawasan itu.

Penduduk lain, Muhamad Zaid Panak, 45, berkata dia pelik kerana sejak kehadiran burung hijrah itu, burung bangau yang sering berada di kawasan sawah sudah tidak kelihatan.

“Mungkin burung bangau berasa takut kerana saiz burung hijrah agak besar dan mempunyai paruh yang panjang selain berada dalam kumpulan yang besar,” katanya.

Berita Harian X