Selasa, 7 Januari 2020 | 11:51am
PENDUDUK mengambil bekalan air bersih dari lori LAP di pekan Tanjung Piandang berikutan sebahagian besar kawasan di daerah Kerian di utara Perak mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi tadi selepas sumber air mentah bagi penyaluran air bersih kepada kira-kira 19,000 akaun penduduk, didapati tercemar. - Foto ihsan Pejabat EXCO
PENDUDUK mengambil bekalan air bersih dari lori LAP di pekan Tanjung Piandang berikutan sebahagian besar kawasan di daerah Kerian di utara Perak mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi tadi selepas sumber air mentah bagi penyaluran air bersih kepada kira-kira 19,000 akaun penduduk, didapati tercemar. - Foto ihsan Pejabat EXCO

Gangguan bekalan air di Kerian, sumber air mentah tercemar

IPOH: Sebahagian besar kawasan di daerah Kerian di utara Perak mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi tadi selepas sumber air mentah bagi penyaluran air bersih kepada kira-kira 19,000 akaun penduduk, didapati tercemar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pertanian dan Peladangan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari, berkata sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di Parit Buntar diperoleh dari Terusan Besar yang disalurkan dari Tasek Bukit Merah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kualiti air terusan berkenaan merosot dan sukar untuk diproses.

“Oleh itu, Lembaga Air Perak (LAP) telah memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuka pintu air di Pekan Batu 5 bagi membolehkan air terusan mengalir dan memulihkan kualiti air di dalam terusan di mana air mentah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata, sebagai langkah mitigasi, operasi loji sudah dihentikan sementara sehingga kualiti air mentah kembali pulih.

Katanya, ia menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan seperti Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau yang membabitkan kira-kira 19,000 akaun pengguna.

Beliau berkata, bagi kawasan Kuala Kurau air disalur dari LRA Semanggol manakala air dibekalkan melalui lori tangki di kawasan lain yang terbabit bagi memastikan pelanggan menerima bekalan air yang selamat.

“Sehingga kini kualiti air mentah dipantau dan menunjukkan terdapat peningkatan kualiti dan LRA akan beroperasi sebaik kualiti air terusan kembali normal,” katanya.

Abdul Yunus berkata, LRA Jalan Baru berkapasiti 50 Juta Liter Sehari (JLH) membekalkan air bagi tiga bandar utama daerah Kerian iaitu Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Beliau berkata, dalam keadaan biasa LRA itu membekal air sekitar 26 JLH.

Katanya, dalam keadaan tertentu, JPS akan mengepam air dari Sungai Samagagah iaitu anak Sungai Kerian ke dalam Terusan Besar, melalui rumah pam Sungai Bogak.

“Jika perlu, JPS akan mengepam air dari Sungai Kurau ke Terusan Besar,” katanya.

Berita Harian X