Rabu, 8 Januari 2020 | 1:10pm

Bekalan air daerah Kerian kembali pulih

IPOH: Bekalan air di sebahagian besar kawasan di daerah Kerian di utara Perak yang terjejas selepas sumber air mentah bagi bekalan air bersih di daerah itu tercemar pagi semalam, kembali pulih, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari, berkata ia berikutan pemantauan dilakukan menunjukkan kualiti sumber air mentah bertambah baik.

“Pada jam 3 petang 7 Januari 2020 (semalam), Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru telah mula beroperasi apabila kualiti air terusan kembali normal.

“Bekalan air bersih telah disalurkan kepada pengguna secara berperingkat dan pulih sepenuhnya lewat malam ini (tadi),” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Semalam, sebahagian besar kawasan di daerah Kerian mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi selepas sumber air mentah bagi penyaluran air bersih kepada kira-kira 19,000 akaun penduduk, didapati tercemar.

Abdul Yunus dilaporkan berkata, sumber air mentah bagi LRA Jalan Baru di Parit Buntar diperoleh dari Terusan Besar yang disalurkan dari Tasek Bukit Merah dan hasil siasatan mendapati kualiti air terusan berkenaan merosot dan sukar untuk diproses.

Beliau dipetik berkata, sebagai langkah mitigasi, operasi loji dihentikan sementara sehingga kualiti air mentah kembali pulih dan ia menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan seperti Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau yang membabitkan kira-kira 19,000 akaun pengguna.

Abdul Yunus berkata, Lembaga Air Perak (LAP) mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang telah memberikan kerjasama dalam membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Pihak LAP memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna di kawasan terjejas. LAP juga mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran menghadapi masalah gangguan bekalan air ini,” katanya.

Berita Harian X