Khamis, 9 Januari 2020 | 3:32pm

Restoran nasi kandar kotor diarah tutup

GEORGETOWN: Najis, air kencing tikus dan lipas yang ditemui di dapur sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Masjid Kapitan Keling, dekat sini, menyebabkan premis itu diarah tutup selama 14 hari bermula semalam.

Malah ketika pemeriksaan dilakukan, beberapa tikus turut dilihat berkeliaran di dapur premis berkenaan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, M Bawani berkata, operasi turut dijalankan terhadap satu lagi restoran nasi kandar di Little India dan dua pasar mini.

Katanya, restoran nasi kandar kedua yang diperiksa pula dikenakan kompaun sebanyak RM100 kerana menyimpan semua bahan dalam peti sejuk yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran.

“Dua pasar mini itu juga diarah tutup selama 14 hari berikutan terdapat kesan kehadiran makhluk perosak selain tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

“Premis yang diperintahkan tutup itu perlu membersihkan kedai masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Bawani menasihatkan pemilik premis atau pengendali makanan supaya sentiasa menjaga kebersihan premis mereka.

Katanya, pemilik premis juga perlu mengambil inisiatif melakukan kawalan serangga perosak bagi mencegah kehadirannya.

“Kami akan terus menjalankan pemantauan dan pemilik premis perlu memastikan supaya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan semasa mengendalikan makanan termasuk memakai pakaian sesuai,” katanya lagi.

Berita Harian X