Sabtu, 11 Januari 2020 | 5:49pm

Motif kuda belang di lintasan pejalan kaki Melaka

MELAKA: Lintasan pejalan kaki di Jalan Merdeka di sini menarik perhatian ramai kerana dicat berbentuk corak kuda belang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Mansor Sudin, berkata insiatif itu dilakukan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya khususnya pemandu dan penunggang motosikal supaya berhati-hati dan fokus dengan garisan lintasan berkenaan.

Katanya, garisan lintang sepanjang 24 meter (m) dan lebar enam meter itu turut dilengkapi dengan sistem lintasan pejalan kaki automatik yang mampu mengimbas pergerakan individu sebelum lampu pejalan kaki bertukar merah untuk melintas.

“Kita masih dalam tempoh percubaan kerana mahu melihat maklum balas awam, jika ia berkesan, akan diteruskan (diperluas).

“Garisan lintang ini juga nampak lebih menarik perhatian pengguna jalan raya selain dilengkapi sistem imbas pejalan kaki supaya mereka tidak lagi perlu menekan butang pejalan kaki untuk melintas,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini lintasan baharu dilengkapi sistem pengimbas pejalan kaki dianggarkan kos keseluruhan berjumlah RM10,000 itu menerima maklum balas positif daripada orang ramai.

Mengulas lanjut mengenai kaedah yang turut digunakan di negara maju itu, Mansor berkata simbol garisan lintasan pejalan kaki masih kekal, cuma reka bentuknya di atas jalan raya diubah supaya pengguna jalan raya lebih tumpu dengan kaedah baharu itu.

Lintasan pejalan kaki di Jalan Merdeka, Melaka yang dicat berbentuk corak kuda belang. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X