Ahad, 12 Januari 2020 | 6:05pm
Gambar viral kanak-kanak menggunakan laluan berbahaya untuk ke sekolah di kampung Muhang, Kota Marudu. - Foto ihsan Sabah Media
Gambar viral kanak-kanak menggunakan laluan berbahaya untuk ke sekolah di kampung Muhang, Kota Marudu. - Foto ihsan Sabah Media

Jambatan Kampung Muhang ke sekolah akan dinaik taraf

Kota Marudu: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Zon Utara Daerah Kudat bercadang membina jambatan konkrit bagi menghubungkan satu-satunya laluan di Kampung Muhang, di sini.

Jurutera Bahagian Zon Utara JKR Daerah Kudat, Muji Ampau, berkata pihaknya juga akan membaiki dan menaik taraf jambatan aras rendah itu yang semakin uzur.

Katanya, dua langkah penyelesaian itu adalah antara cadangan pihaknya setakat ini untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Sebaik mengetahui gambar tular sekumpulan penduduk dan murid sekolah rendah yang meniti paip untuk menyeberangi Sungai Jambutan, saya segera mengerah pegawai JKR meninjau lokasi pada Jumaat lalu.

“Pihak JKR akan mengusulkan cadangan ini kepada pihak atasan secepat mungkin untuk mendapat kelulusan projek termasuklah memohon cadangan ini dimasukkan dalam senarai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Muhang, Suraban Piok, berkata pemimpin politik kawasan itu turut melawat lokasi semalam.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Julita Majungki ketika dihubungi berkata, beliau mengetahui kejadian itu selepas tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Jumaat lalu, beberapa gambar tular menunjukkan lebih 30 murid sekolah rendah dan tadika ditemani ibu bapa masing-masing bergadai nyawa ke sekolah apabila menyeberangi arus sungai berarus deras dengan meniti batang paip.

Setiap kali hujan lebat, jambatan di kampung itu akan ditenggelami dan penduduk yang tiada pilihan untuk ke seberang terpaksa meniti batang paip.

Berita Harian X