Selasa, 14 Januari 2020 | 4:00pm
M Busra bersama isteri dan enam anak di rumah usangnya di Kampung Lembaga, Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim

10 beranak catu makan kerana miskin

GUA MUSANG: Kemiskinan hidup memaksa 10 beranak mencatu makanan untuk sekali sehari, selain tinggal di rumah usang di tanah rizab tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga, dekat sini.

Ketua keluarga, M Busra Mohamed, 50, berkata rumah itu dibina sendiri daripada kayu dan zink terbuang yang dihanyutkan banjir selepas bah besar Disember 2014.

Dia mengakui tidak mampu membina rumah yang lebih selesa kerana pendapatannya bergantung kepada upah menoreh getah sekitar RM600 sebulan.

“Menoreh pun bergantung kepada cuaca dan pernah tidak ada pendapatan dua bulan pada akhir tahun lalu kerana hujan berterusan.

“Berikutan itu, anak berusia setahun hingga 14 tahun tidak dibenarkan makan nasi tiga kali sehari tetapi untuk makan sekali sehari pada tengah hari.

“Bagi sarapan, anak-anak kami minum tea ‘O’ dicicah bersama biskut kering dan mereka sudah biasa dengan keadaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

M Busra berkata, isterinya, Siti Suhaiziah Ramli, 41, menjadi suri rumah sepenuh masa kerana perlu menjaga anaknya yang masih kecil.

Katanya, dia juga perlu menanggung perbelanjaan empat anak yang bersekolah termasuk tiga sekolah rendah dan seorang sekolah menengah tanpa memberi wang saku.

“Kami juga tidak mampu menyewa rumah dan terpaksa membina semula rumah di tapak asal yang runtuh dilanda banjir,” katanya.

Katanya, lebih penting bagi keluarganya untuk mendapat bantuan rumah bagi meneruskan kelangsungan hidup dan ingin menikmati hidup selesa.

“Soal catu makan sudah menjadi kebiasaan hingga saya bersama isteri kerap berpuasa kerana hanya mampu menyediakan makanan untuk anak,” katanya.

Berita Harian X