Selasa, 14 Januari 2020 | 4:17pm
Anggota trafik IPD Kubang Pasu melakukan sekatan jalan raya di Jalan Air Hitam - Sanglang pada 1 Jun 2019.
Anggota trafik IPD Kubang Pasu melakukan sekatan jalan raya di Jalan Air Hitam - Sanglang pada 1 Jun 2019.

Jalan kampung pun boleh kena saman

JITRA: Jangan ingat menggunakan jalan raya kampung akan terlepas dari tindakan saman lalu lintas.

Demikian ingatan polis berikutan satu video tular yang mengundang banyak reaksi tidak senang dalam kalangan pengguna internet.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata pihaknya sudah meneliti video yang ditular dan mengesahkan ia berlaku di Jalan Air Hitam - Sanglang di daerah ini, tahun lalu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan sekatan jalan raya di kawasan itu pada 1 Jun 2019.

“Bagaimanapun ketika sekatan dilakukan, ada penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar memintas masuk ke lorong kecil di kawasan itu untuk mengelak disaman.

“Berikutan itu anggota trafik yang ada di situ mengekori mereka dan mengeluarkan saman terhadap penunggang yang tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, polis hanya menjalankan tugas dan setiap penunggang motosikal yang berada di atas jalan yang dilalui kenderaan awam perlu memakai topi keledar untuk keselamatan mereka.

Beliau berkata, penunggang motosikal terbabit disaman mengikut Kaedah-kaedah motosikal (topi keledar) 1973.

“Selain itu anggota trafik yang ditular dalam video berkenaan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu malam tadi untuk tindakan lanjut.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah menular apa-apa kes yang tidak benar di laman sosial dan mereka boleh diambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, anggota polis trafik itu ketika dihubungi berkata, dia hanya menjalankan tugas ketika itu dan tidak menyangka video itu akan ditular.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Semalam satu video ditular di laman sosial mengundang kemarahan netizen selepas seorang lelaki memuat naik video seorang anggota trafik mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal kerana tidak memakai topi keledar di jalan kampung.

Melalui video itu, kebanyakan netizen membalas komen berunsur negatif terhadap anggota polis terbabit.

Berita Harian X