Rabu, 15 Januari 2020 | 12:02am

Gangguan elektrik di Segamat pulih berperingkat

KUALA LUMPUR: Gangguan elektrik sekitar Segamat, Johor, yang berlaku berikutan masalah di pencawang masuk utama (PMU) Bukit Siput akan pulih secara berperingkat selepas bekalan disambung semula mulai jam 8.15 malam tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, gangguan yang mula berlaku pada jam 5.35 petang tadi menyebabkan anggaran kehilangan beban sebanyak 24.5 megawatt (MW), sekali gus menjejaskan perkhidmatan kepada 18,958 pengguna.

“Pasukan teknikal TNB segera digerakkan bagi membaik pulih bekalan, termasuk secara menyuap balik bekalan menggunakan 85 set jana kuasa bergerak.

“Sehingga jam 10.30 malam, TNB berupaya memulihkan hampir 30 peratus bekalan ke kawasan terjejas. Usaha sedang giat dijalankan bagi memulihkan bekalan sepenuhnya.

“Maklumat terkini pemulihan bekalan sentiasa dikemaskini di Facebook TNB Careline dan sebagai alternatif, pengguna terjejas boleh menghubungi TNB di talian 15454 untuk maklumat lanjut.

“TNB memohon maaf atas gangguan terbabit. Kesabaran pengguna terjejas amat dihargai,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Berita Harian X