Rabu, 15 Januari 2020 | 1:03pm
Penggunaan serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penggunaan serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Straw serai bakal diperluaskan ke kafe hospital

PASIR MAS: Penggunaan serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa, berkata pihaknya bersedia membekalkan tanaman serai kepada mana-mana pihak yang ingin menyahut saranan itu.

Beliau berkata, penggunaan penyedut minuman daripada serai adalah sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA.

“Tanaman serai mempunyai 27 jenis dan untuk penggunaan sebagai penyedut minuman, serai buluh adalah sesuai.

“Kita akan memajukan penggunaannya kepada kafe Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada untuk digunakan oleh orang ramai atau kepada pesakit sendiri kerana ia adalah daripada bahan semula jadi.

“Tanamannya juga akan diperbanyakkan iaitu di sepanjang tebing tali air KADA dan lebih 10,000 rumpun sudah ditanam di Kampung Padang Halban,” katanya kepada pemberita di Ladang Merdeka Senor, di sini.

Katanya, beliau akan membuat surat rasmi kepada pihak HUSM, Kubang Kerian untuk tujuan cadangan itu dalam masa terdekat memandangkan bekalan serai sangat banyak.

“Bagi pencinta alam sekitar, inisiatif serai sebagai penyedut minuman amat bagus kerana ia dapat mengurangkan penggunaan bahan plastik,” katanya.

Berita Harian X