Khamis, 16 Januari 2020 | 4:23pm
Sebahagian penduduk Kampung Luat Lenggong menandatangani surat bantahan cadangan pembalakan di kawasan tadahan air di Hutan Simpan Piah. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf
Sebahagian penduduk Kampung Luat Lenggong menandatangani surat bantahan cadangan pembalakan di kawasan tadahan air di Hutan Simpan Piah. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf

Kumpul tandatangan bantah projek pembalakan

LENGGONG: Lebih 100 ketua keluarga di Kampung Luat, di sini, menurunkan tandatangan bagi membantah cadangan pembalakan membabitkan dua daripada enam kompartmen kawasan tadahan air di Hutan Simpan Piah.

Bantahan itu turut disuarakan oleh jawatankuasa Perbekalan Air Paip Luar Bandar, Persatuan Jaringan Perikanan Kampung Luat, Persatuan Projek Ternakan Udang Galah Kampung Luat, Persatuan Padang Ragut Kampung Luat, jawatankuasa masjid dan surau, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak pengurusan Maahad Tahfiz Darul Quran wal-Imamah.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Ahmad Bakri Ariffin, berkata surat bantahan yang mengandungi tandatangan semua pihak terbabit dibuat berikutan dua kompartmen di kawasan tadahan air di hulu Sungai Luat sudah diluluskan untuk pembalakan.

Katanya, menerusi surat daripada pihak yang mendapat projek pembalakan itu yang disampaikan kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pihak terbabit dikatakan akan melakukan kajian terhadap cadangan membalak di situ walaupun ia sudah diluluskan untuk pembalakan.

“Kami hairan kerana dua kompartmen seluas 400 hektar di kawasan berkenaan akan dibuat kajian selepas diluluskan untuk pembalakan.

“Bagaimana pula cadangan pengambilan balak yang telah diluluskan, kemudian baru hendak buat kajian, sepatutnya kaji dahulu barulah lulus atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Bakri berkata, pengumpulan tanda tangan surat bantahan itu adalah susulan keputusan mesyuarat pertama jawatankuasa bantahan itu berhubung cadangan pembalakan itu yang dilaporkan BH pada 10 Oktober tahun lalu.

Katanya, sekiranya bantahan dibuat melalui surat yang ditandatangani penduduk tidak diendahkan, tindakan selanjutnya akan bincangkan bersama nanti.

Oktober tahun lalu, BH melaporkan lebih 900 penduduk Kampung Luat membantah cadangan pembalakan di Hutan Simpan Piah kerana didakwa akan menjejaskan kawasan tadahan air, sekali gus mencemarkan bekalan air bersih.

Penduduk juga mendakwa aktiviti mencemarkan kawasan tadahan air itu akan menyebabkan ekonomi terjejas, di samping sudah serik selama tujuh tahun menggunakan air keruh akibat pembalakan kali pertama sekitar 1990-an.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X