Isnin, 20 Januari 2020 | 4:11pm

Bekalan air di Pulau Pinang terkawal

GEORGETOWN: Penyusutan kapasiti efektif di dua empangan di Pulau Pinang dilaporkan masih dalam keadaan terkawal, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, walaupun hujan lebat melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang semalam, Empangan Air Itam masih merekodkan kapasiti efektif 60.4 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang pula sebanyak 38.1 peratus.

“Dalam satu hari, saya rasa tak ada perubahan sangat, walaupun semalam ada (turun) hujan satu jam di beberapa lokasi.

“Masalahnya air (hujan) tidak turun (mengalir) ke kawasan empangan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya mengesahkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang jauh lebih rendah daripada biasa, disebabkan oleh jumlah hujan yang rendah tahun lalu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, beliau menyambut baik operasi pembenihan awan yang dilakukan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, beliau percaya MetMalaysia akan terus melakukan usaha pembenihan awan (OPA) sehingga taburan hujan yang mengisi empangan mencapai kapasiti ‘selesa’.

“Saya yakin MetMalaysia akan terus berusaha melakukan pembenihan awan sehingga semuanya kembali baik,” katanya.

MetMalaysia dalam kenyataannya semalam memaklumkan melancarkan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengatasi masalah bekalan air yang terjejas di sekitar kawasan takungan air di empangan-empangan untuk kegunaan domestik dan pertanian, di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon, dilaporkan berkata operasi itu dilakukan di enam kawasan sasaran di Kedah serta Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan hujan di hampir kesemua kawasan tumpuan, iaitu Empangan Muda, Pedu dan Teluk Bahang serta kawasan sawah padi di Kuala Nerang dan Kampung Perupok, kecuali sekitar kawasan Empangan Ahning, Kedah.

Simpanan air mentah menunjukkan penurunan ketika tinjauan di Empangan Air Itam, dengan kapasiti 60.4 peratus berbanding kapasiti pada Jumaat lalu (60.9), manakala dua lagi empangan iaitu Teluk Bahang (38.1) dan Mengkuang (73.6). - NSTP/Mikail Ong
Simpanan air mentah menunjukkan penurunan ketika tinjauan di Empangan Air Itam, dengan kapasiti 60.4 peratus berbanding kapasiti pada Jumaat lalu (60.9), manakala dua lagi empangan iaitu Teluk Bahang (38.1) dan Mengkuang (73.6). - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X