Jumaat, 24 Januari 2020 | 7:51pm

Catuan air berjadual: 876,328 pengguna di Melaka akan terjejas

KUALA LUMPUR: Catuan bekalan air berjadual di Melaka yang akan dilaksanakan selama 12 hari bermula Rabu depan berikutan penyusutan paras air Empangan Durian Tunggal, akan membabitkan seramai 876,328 pengguna.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan menjelaskan, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan menyelaraskan bekalan air melalui lori tangki ke pusat pengagihan setempat dan sejumlah 422 tangki statik serta 44 lori tangki akan digerakkan untuk menghantar bekalan kepada pengguna.

Selain menggerakkan aset dalaman SAMB, pembekalan air kepada penduduk terjejas akan turut dibantu operator air dari seluruh Semenanjung selaras perjanjian yang dimeterai.

“Sebagai langkah proaktif untuk menstabilkan paras sungai, SAMB akan melakukan pelepasan dari Empangan Durian Tunggal ke muka sauk, dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka, pengepaman air mentah dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Padang Keladi dan dari Kolam Kesang Satu ke Sungai Garing,” menurut kenyataan itu.

Selain Melaka, beberapa empangan di negeri lain turut menghampiri paras kritikal iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang, Empanganm Upper Layang di Johor serta Empangan Muda di Kedah.

Pengguna di negeri berkenaan juga disarankan supaya bersiap sedia sekiranya catuan air terpaksa dilaksanakan.

“SPAN akan terus memantau rapi paras sungai dan empangan digunakan sebagai sumber air mentah dengan kerjasama kerajaan negeri dan bagi tujuan itu, semua operator air negeri diminta melaporkan keadaan bekalan air di negeri masing-masing setiap hari.

“SPAN ingin menasihatkan semua pengguna supaya berhemat dalam menggunakan air ketika cuaca panas ini. Elakkan pembaziran dan penggunaan air untuk tujuan kurang penting supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama,” menurut kenyataan itu.

Berita Harian X